Ahad, 13 Jun 2021

Bakal haji giliran 2020, 2021 diberi keutamaan tahun depan – TH

 Oleh Mohd Ridzwan Md. Iman

haji
Gambar: Sufi/Shutterstock

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H/2021M selaras dengan keputusan Kerajaan Arab Saudi tiada jemaah negara luar, termasuk Malaysia dibenarkan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji tahun ini atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, keputusan penangguhan dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membuat pengumuman rasmi yang diperoleh dari Kerajaan Arab Saudi, semalam.

Mengenai kedudukan bakal haji, beliau berkata, bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji tahun ini, mereka sekarang akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji tahun depan.

“Manakala, bagi bakal haji yang gilirannya tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Untuk ibadat haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dihadkan hanya untuk warganegara Arab Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi, mereka boleh memohon melalui Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini, tertakluk kepada kriteria pemilihan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Amrin berkata, walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia.

Katanya, keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

“TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dahulu,” menurut beliau.

“TH juga menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil Kerajaan Malaysia dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lalu,” katanya.

TH menasihati umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini dan memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda.

Tiada ulasan: