Selasa, 8 Jun 2021

Akhbar Harian Metro 'laku keras' di Shah Alam

Shah Alam: Ibarat 'goreng pisang panas' apabila promosi beli akhbar Harian Metro bagi mendapatkan paket beras percuma hari ini, menerima sambutan luar jangkaan.

Tinjauan mendapati, rata-rata akhbar keluaran New Straits Times (M) Bhd (NSTP) iaitu akhbar Berita Harian, Harian Metro serta New Straits Times habis dijual di kedai serbaneka 7 Eleven sebelum jam 10 pagi tadi.

Ternyata warga bandaraya Shah Alam tidak melepaskan peluang mendapatkan paket beras Super5 seberat 400 gram bagi setiap pembelian akhbar NSTP yang bermula hari ini sehingga 11 Jun depan.

Salah seorang pelanggan tetap akhbar Harian Metro, Zulfadhlisyahmi Abdul Rahim, 40, berkata, dia terkejut apabila diberikan 'hadiah' paket beras Super5 400 gram secara percuma oleh pekerja 7 Eleven di Seksyen 13 di sini.

"Ini pertama kali saya mendapat barangan percuma apabila membeli akhbar Harian Metro... terima kasih di atas pemberian ini.

"Memang terkejut, saya tidak jangka dapat beras percuma ini sedangkan niat saya mahu membeli akhbar Harian Metro seperti rutin setiap hari," katanya.

Menurutnya, akhbar Harian Metro mempunyai tarikan dan keistimewaan sendiri berbanding akhbar lain di pasaran.

"Tarikan Harian Metro adalah paparan muka depan akhbar yang menyajikan gambar dan berita menarik. Contohnya tajuk muka depan hari ini, saya hendak tahu apa yang dimaksudkan dengan perkataan 'Ivermectin'. Sebab itu saya beli," katanya yang mencari rezeki sebagai pemandu e -hailing.

Sementara iu tinjauan di 7 Eleven Seksyen 18 di sini, mendapati akhbar Harian Metro habis dijual sebelum jam 10 pagi.

Salah seorang pekerja premis, Muhammad Aiman Syakir Jamaluddin, 22, memaklumkan, ada antara pelanggan membeli sehingga lima nashkah akhbar sekaligus.

"Pelanggan pertama beli dua naskah manakala pelanggan kedua beli lima naskah sekaligus membabitkan ketiga-tiga akhbar NSTP.

"Pelanggan lelaki berumur 30-an itu memberitahu mahu sedekahkan paket beras itu ke balai polis atau balai bomba berhampiran," katanya.

Malah tinjauan ke premis 7 Eleven di Seksyen 3 di sini, mendapati ada pelanggan menyatakan hasrat mendermakan paket beras percuma diterima ke lokasi 'foodbank' berhampiran

Tiada ulasan: