Seri Paduka zahir harapan angka jangkitan dapat dilandaikan
\kUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepat proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka turut menzahirkan pandangan bahawa perlu ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘jalan keluar’ bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka, setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari agensi kerajaan, turut menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan