PETALING JAYA: Ada dalam kalangan nelayan di Langkawi dipercayai menjadi tali barut untuk sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ke pulau peranginan itu, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
Beliau dipetik Bernama berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima makluman awal mengenai sindiket yang membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini, sedang berada di negara jiran dan hanya menunggu masa memasuki perairan Malaysia.
“Hasil risikan mendapati, segelintir komuniti nelayan tempatan ini bekerjasama dengan sindiket itu tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.
“Mereka ini (komuniti nelayan yang menjadi tali barut) bekerjasama dengan sindiket ini di tengah-tengah lautan, dan menyeludup masuk pendatang tanpa izin menggunakan bot-bot mereka,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) di sini.
Hamzah berkata beliau telah meminta pihak polis, APMM dan National Task Force untuk membantu mengekang kemasukan pendatang tanpa izin berkenaan ke negara ini.
“Jika dahulu modus operandi mereka masuk ke negara ini menggunakan bot besar, sekarang mereka menukar strategi dengan menetap sementara di pulau-pulau kecil memerhati pergerakan pihak berkuasa.
“Mereka ini akan menunggu masa dan jika tidak ada rondaan pada waktu itu maka mereka masuk sedikit demi sedikit menggunakan bot-bot yang dibawa sindiket. Bila tiba di perairan negara telah ada orang yang menunggu mengambil mereka ini. Itulah cara yang mereka buat sekarang ini,” katanya.
Sehubungan itu Hamzah berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa Pengerusi Persatuan Nelayan serta warga nelayan di Langkawi, bagi memberi penerangan dan nasihat supaya tidak terjerumus dalam jenayah, yang boleh memusnahkan diri mereka dan negara.
“Kami bukan hanya memberi bantuan makanan asas kepada mereka (komuniti nelayan), malah kita mahu mereka ini sedar bahawa dalam kalangan mereka ini ada yang melakukan jenayah, yang tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata selain penyeludupan manusia, sindiket itu turut terlibat dalam pengedaran dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan