Ahad, 13 Jun 2021

780 ditahan ingkar SOP, 137 tak pakai pelitup muka

individu ditahan
SEORANG pegawai Bomba ditahan di sekatan jalan raya kerana kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran. - GAMBAR HIASAN

SEJAK pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, awal bulan ini, jumlah individu yang mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilihat masih tinggi.

Kadar penahanan turut pernah mencecah 1,214 individu pada 6 Jun lalu sekali gus merupakan jumlah tertinggi tahun ini.

Namun begitu, jumlah tersebut dilihat semakin menurun hari demi hari.

Semalam, seramai 780 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Jumlah berkenaan berkurangan berbanding 887 pada hari Jumaat.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 748 individu daripada jumlah keseluruhan ditahan semalam telah dikenakan kompaun manakala 32 lagi direman.

Kata beliau, kesalahan tertinggi yang dicatatkan semalam adalah melibatkan tiada penjarakan fizikal iaitu seramai 152 individu diikuti 137 lagi tak memakai pelitup muka.

Kelmarin, 146 ditahan kerana tak memakai pelitup muka.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, 135 lagi telah ditahan kerana gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis dan 54 dikesan membawa penumpang berlebihan.

“Seramai 70 individu ditangkap keranan tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan manakala 232 individu atas lain-lain kesalahan.

“Task Force Operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 94,095 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, operasi pematuhan SOP sepanjang PKP masih terus ditingkatkan dengan penguatkuasaan dilaksanakan secara holistik membabitkan semua peringkat.

Namun begitu, kata beliau, jumlah individu yang ditahan atas pelanggaran SOP masih tinggi iaitu melebihi 800 orang sehari sejak akhir-akhir ini.

“Sejak pelaksanaan total lockdown atau sekatan perjalanan penuh bermula 1 Jun lalu, kes baharu COVID-19 mula menunjukkan penurunan.

“Semoga trend positif ini akan berterusan sehinggalah kita dapat mengekang sepenuhnya penularan wabak pandemik ini.

“Justeru, saya berharap agar kita semua patuhi SOP yang ditetapkan kerana tanggungjawab mengekang penularan COVID-19 memerlukan kerjasama segenap lapisan rakyat,” jelas beliau.

Tiada ulasan: