PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya mengumumkan 40,000 pekerja dalam sektor pembinaan akan diberikan vaksin pada harga subsidi RM90 setiap orang.
Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, program vaksinasi yang diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada 30 Jun dan Selangor pada 14 Julai ini.
“Melalui program ini, pihak swasta perlu menyediakan dan membiayai sendiri pasukan petugas dan pegawai perubatan bertauliah serta pusat pemberian vaksin (PPV), manakala bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, caj proses serta pengurusan pemberian vaksin yang akan dikenakan melalui program ini adalah RM140 seorang untuk dua dos lengkap vaksin bagi majikan berminat.
“Bagi meringankan beban kewangan di pihak industri, CIDB akan memberikan subsidi RM50 untuk seorang pekerja dan juga menawarkan premis CIDB sebagai PPV secara percuma.
“Ini bermakna majikan dalam sektor pembinaan hanya perlu membayar RM90 untuk setiap pekerja yang divaksin,” katanya.
Tambah beliau, penggiat industri pembinaan boleh menyertai program sukarela itu dengan memilih program pemberian vaksin sendiri kepada pekerja mereka secara terus dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) atau program pemberian vaksin diselaraskan oleh CIDB.
Mereka yang ingin menyertai program vaksinasi itu boleh berbuat demikian mulai Isnin dengan melayari http://vaccine.cidblink.com atau menghubungi 03-40428880.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan