Isnin, 7 Jun 2021

3 ditahan ceroboh Hutan Simpan Bubu ketika leka menebang pokok

Siti Hafidah

Suspek bersalah menjalankan kerja-kerja penerokaan hutan di Kompartmen 62

IPOH – Seorang lelaki yang leka menebang pokok ditahan bersama dua lagi individu selepas menceroboh Hutan Simpan Bubu pada Jumaat lalu.

Ketiga-tiga individu terbabit ditahan anggota penguat kuasa Pejabat Renjer Hutan Beruas dalam operasi pada jam 5.30 petang.

Jabatan Perhutanan Perak memaklumkan, kesemua suspek yang berusia 22 hingga 55 tahun ditahan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

Katanya, ketika ditahan, semua lelaki berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja penerokaan hutan di Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu.

“Salah seorang leka menebang pokok tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Dalam serbuan itu, kenyataan memaklumkan, pihak berkuasa merampas sebuah jentera berat jenis ‘backhoe’ model JCB, sebuah motosikal model Modenas, satu unit gergaji rantai dan sebilah parang.

“Ketiga-tiga suspek ditangkap dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

“Semua barang rampasan dibawa ke stor untuk siasatan mengikut Seksyen 81(1)(b) dan 81(1)(e) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Tiada ulasan: