SHAH ALAM: Kerja-kerja memberi suntikan vaksin di Selangor akan bermula 1 Julai depan membabitkan 250,000 rakyat negeri ini sebaik sahaja 500,000 bekalan dos dimuktamadkan antara kerajaan negeri dan pembekal.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, vaksin tersebut akan tiba secara berfasa mulai akhir Jun sehingga penghujung tahun ini.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM200 juta bagi pembelian vaksin dengan pembekal yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mendedahkan kos bagi satu dos vaksin berkenaan atau jenis yang diterima di Selangor, namun ia salah satu daripada tiga jenis yang diluluskan NPRA.
“Berkenaan titah Sultan Selangor yang menyatakan rasa terkejut dan kecewa kerana pemberian vaksin yang tidak setara, saya percaya ia sedikit sebanyak disumbang oleh masalah bekalan yang tidak dapat dilengkapkan di peringkat awal sebagaimana perancangan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
“Tanpa menuding jari, saya juga harus bertanggungjawab kerana terlibat dengan CITF negeri dan dalam pembentangan terakhir Majlis Keselamatan Negara, Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan-PICK) percaya menjelang Jun dan Ogos, jumlah vaksin secukupnya akan ditambah di Selangor.
“Dengan anggaran sekitar 2.5 juta vaksin yang kita akan perolehi dalam tempoh Jun hingga penghujung tahun ini, kita percaya ia akan mempercepatkan proses (vaksinasi) tersebut,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Terdahulu, Amirudin mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pakej tersebut berteraskan tiga strategi bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya juga akan mengusahakan perolehan vaksin sebagai persediaan melindungi generasi muda yang bakal berumur 18 tahun.
Jelasnya, ini kerana berdasarkan data Kementerian Kesihatan, seramai 82,341 kanak-kanak telah dijangkiti Covid-19 dengan 27,402 orang daripadanya adalah berumur antara 13 sehingga 17 tahun.
“Generasi baru ini juga akan dimasukkan di dalam kerangka besar Selangor Covid-19 Vaccination Programme (SCVP) dan kami akan kembali ke CITF dan Kementerian Kesihatan untuk bersama-sama membincangkan perkara tersebut agar selari serta mempercepatkan imuniti kelompok di Selangor sejajar dengan PICK.
“Selangor bersedia untuk melaksanakan enrolmen ini bertujuan untuk meningkatkan tahap perlindungan kesihatan beberapa kumpulan sasar seperti golongan B40, warga emas, guru dan sebagainya daripada bahana virus Covid-19.
“Pelaksanaan SCVP tidak akan membebankan sistem kesihatan awam di Selangor kerana kita mempunyai jaringan lebih dari 1,000 klinik-klinik Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) yang bersama kita di bawah program Peduli Sihat yang bersedia melaksanakan program vaksinasi sama ada melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV), rumah ke rumah mahupun premis ke premis,” ujarnya.
Tambah Amirudin, kerajaan negeri juga akan meneruskan ujian saringan Covid-19 percuma Fasa Ketiga dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh negeri.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan