Jumaat, 25 Jun 2021

13 jemaah dikompaun gagal patuhi SOP solat Jumaat

ALOR SETAR: Seramai 13 jemaah dikompaun RM1,500 seorang selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat di sebuah masjid di Seberang Kota, Kuala Kedah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata pasukan pemantau COVID-19 dan Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Negeri Kedah (BKK) Kementerian Dalam Negeri menerima maklumat perkara itu dan bergerak ke masjid berkenaan.

Katanya, sebaik tiba pada jam 1.40 petang, pihaknya mendapati semua jemaah sedang mendengar khutbah Jumaat dan polis membenarkan mereka melaksanakan solat sehingga selesai sebelum tindakan diambil.

"Hasil pemeriksaan mendapati ada 34 individu di dalam masjid, melebihi jumlah dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu hanya 13 individu saja dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

"Berikutan itu, kompaun RM1,500 setiap seorang terpaksa dikeluarkan terhadap 13 individu berusia antara 18 hingga 82 tahun kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

"Selain itu, kita turut mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pengurusan masjid berkenaan kerana gagal melaksanakan SOP apabila membenarkan lebih individu berada di dalam masjid," katanya pada sidang media di Balai Polis Kuala Kedah, hari ini.

Semua yang dikompaun itu dipercayai ahli jawatankuasa kariah masjid kerana gagal memastikan SOP solat Jumaat dipatuhi iaitu hanya boleh dihadiri 13 jemaah.

Ahmad Shukri berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 11(3) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPP).

Katanya, baki jemaah tidak dikompaun dan dibenarkan pulang kerana ada dalam kalangan mereka kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

"Berdasarkan pemeriksaan, semua jemaah menunaikan solat mengikut jarak fizikal ditetapkan dan memakai pelitup muka. Akan tetapi, mereka tidak patuh SOP kerana bilangan jemaah menunaikan solat lebih daripada jumlah ditetapkan.

"Berdasarkan maklumat pihak masjid, ini kali pertama masjid itu dikunjungi lebihan jemaah kerana pada minggu lalu, hanya 13 orang saja yang datang menunaikan solat Jumaat," katanya.

Tiada ulasan: