Ahad, 23 Mei 2021

Duduklah di rumah – Dr. Noor Hisham

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia dirayu agar melakukan kuarantin kendiri dan tidak keluar rumah sekiranya tiada perkara penting dalam tempoh dua minggu ini bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh terbabit amat diperlukan Kementerian Kesihatan (KKM) bagiu melakukan susun atur pelbagai aspek bagi memastikan keupayaan kementerian dan petugas kesihatan dapat diperkasakan.

Katanya, kes yang meningkat kebelakangan ini adalah aktiviti dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu dan buat masa ini, kes melibatkan aktiviti Hari Raya masih belum dikesan.

“Manusia bergerak dan berhimpun manakala Covid-19 tidak berhimpun. Ia merebak dan menjangkiti individu lain apabila manusia bergerak dan berhimpun. Apabila ia menjangkiti seseorang, ia akan membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian baharu

“Langkah terbaik bagi memutuskan penularan Covid-19 adalah kita duduk di rumah dan ini mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri di sini hari ini.

Hari ini, Malaysia mencatat 6,320 kes positif dan 4,694 kes sembuh di mana Selangor menjadi penyumbang tertinggi iaitu 1,647 kes.

Dr. Noor Hisham berkata, hanya Selangor merekodkan kes melebih 1,000 kes manakala majoriti negeri merekodkan kes tiga angka manakala dua wilayah dan satu negeri, kes dua angka.

“Bagi negeri yang merekodkan kes tiga angka ia didahului Sarawak, 749 kes diikuti Kuala Lumpur, 654 kes; Kelantan, 613 kes; Johor, 477 kes; Negeri Sembilan, 396 kes; Pulau Pinang, 359 kes; Kedah, 301 kes; Perak, 276 kes; Pahang, 227 kes; Sabah, 189 kes; Terengganu, 185 kes dan Melaka, 175 kes. 

“Hanya dua wilayah dan satu negeri merekodkan kes dua angka iaitu Labuan, 36 kes manakala Putrajaya dan Perlis, masing-masing 18 kes,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: