Rabu, 3 Mac 2021

Rentas negeri ibarat lepaskan 'lingkaran spring'

KUALA LUMPUR: Sekatan rentas negeri dijangka hanya ditarik balik selepas empat minggu suntikan vaksin, fasa kedua mula dilaksanakan.

Berdasarkan unjuran itu, sekatan yang mula berkuat kuasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu berkemungkinan tamat menjelang pertengahan Mei iaitu sebelum Aidilfitri.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, ketika menyuarakan pandangan itu berkata, ia dibuat bersandarkan pola penyusutan kadar jangkitan dan kes aktif yang masih direkodkan di Malaysia.

Meskipun pelbagai kelonggaran diberi, katanya, PKP membuahkan hasil apabila kadar kebolehjangkitan COVID-19 mula berkurang daripada lebih 50,000 kes kepada bawah paras 25,000 kes, hari ini.

"Pasti ramai tertanya-tanya dan tidak dinafikan bersedih kerana sekatan rentas negeri masih berkuat kuasa, tetapi ini demi kebaikan semua.

"Rakyat Malaysia terkenal dengan keramahan mereka, justeru dikhuatiri jika sekatan rentas negeri ditarik balik sekarang, ia mampu mengundang kesan seperti bebaskan tekanan daripada 'lingkaran spring'.

"Sebaik tiba di kampung masing-masing, sudah pasti berpelukan dan bermesra tanpa sebarang penjarakan fizikal atau langkah berjaga-jaga, termasuk membabitkan golongan berisiko.

"Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, kadar kebolehjangkitan dalam kalangan masyarakat perlu diturunkan ke paras selamat, sebelum sekatan rentas negeri ditarik balik," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, mengumumkan empat negeri, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang masih dikenakan PKP, sejak 13 Januari lalu akan berakhir, berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini.

Sekatan rentas daerah di seluruh negara susulan pelaksanaan PKP turut ditarik balik, kecuali Sabah, sekali gus memberi 'sinar' kepada usaha pemulihan sektor pelancongan yang lama terjejas berikutan kawalan pergerakan.

Berdasarkan statistik, Malina berkata, program imunisasi dijangka mula mencatatkan penyusutan kadar jangkitan COVID-19 selepas 100 hari ia dilaksanakan, dengan liputan pelalian merangkumi 50 peratus daripada keseluruhan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, program imunisasi yang dimulakan lebih awal di di beberapa negara merekodkan perkembangan baik apabila kadar penyusutan jangkitan baharu berkurang cepat daripada jangkaan.

"Keputusan untuk menarik balik rentas daerah ini sudah dijangka kerana kes harian mencatatkan penurunan dan kita mula melaksanakan imunisasi kebangsaan.

"Kerajaan juga sudah isytiharkan peningkatan atau pindaan kepada jumlah kompaun sehingga mencecah RM10,000, justeru ia memberi kuasa bagi mengekang sebarang aspek ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Cuma, rentas negeri masih berkuat kuasa kerana ada beberapa negeri yang merekodkan Zon Merah dan mempunyai kluster penularan COVID-19, justeru ia harus dibendung dulu.

"Sekiranya pergerakan rentas negeri ditarik balik, ia bakal mengundang kesesakan, justeru wajar ia (kelonggaran) diberikan secara perlahan-lahan," katanya.

Tiada ulasan: