KUALA LUMPUR: Lebih banyak hospital swasta akan terbabit sebagai pusat vaksinasi bagi fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sebaik saja perkara itu dilakukan, sasaran memberi 75,000 ke 150,000 suntikan sehari mampu dicapai.
"Hospital swasta sebagai contoh, Hospital Pantai sudah digunakan sebagai pusat vaksinasi untuk petugas kesihatan swasta fasa pertama.
"Kami akan memasukkan lebih banyak hospital swasta untuk fasa kedua dan ketiga seperti yang pernah saya umumkan sebelum ini," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya, hari ini.
Beliau mengulas ciapan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyarankan kerajaan membabitkan sektor swasta dalam pemberian vaksin COVID-19 supaya pengagihannya menjadi lebih berkesan dan telus jika kapasiti hospital awam tidak mencukupi.
Dr Dzulkefly dalam ciapannya berkata, kerjasama awam-swasta itu penting bagi mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.
Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan seramai 75,000 orang akan menerima suntikan vaksin dalam tempoh sehari program vaksinasi COVID-19 kebangsaan bermula di 600 pusat vaksinasi seluruh negara mulai bulan ini.
Beliau berkata, sasaran seterusnya, bergantung kepada bekalan supaya 150,000 suntikan sehari boleh dilaksanakan membabitkan dos kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan