Status tanah SJK (T) Ladang Sungai Ular di Kulim menjadi teka-teki susulan terdapat dua versi yang bercanggah berhubung status tanah seluas 0.447 hektar itu.
Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekolah berkenaan, K Muniandy, 47, tanah itu kini perlu dipajak setiap tiga tahun daripada pemiliknya, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pemilik tanah.
Namun, menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu Saifuddin Nasution Ismail, bekas menteri besar Kedah allahyarham Azizan Abdul Razak telah menyerahkan tanah tersebut secara percuma kepada pihak sekolah.
"Baru-baru ini Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) menandatangani satu surat perjanjian dengan pihak PKNK, di mana pihak sekolah mendapat kebenaran menduduki secara percuma di atas tanah sedia ada dan perlu diperbaharui pada setiap tiga tahun.
"Namun, Saifuddin Nasution memberitahu bahawa allahyarham Azizan telah menyerahkan tanah tersebut secara percuma kepada pihak sekolah ketika membina bangunan tambahan pada tahun 2010.
"Jadi, kami ibu bapa keliru dan bimbang dengan masa depan sekolah tersebut," katanya kepada Malaysiakini.
Sekolah itu dibina pada tahun 1936, kini mempunyai 173 murid.
Muniandy menjelaskan bahawa isu status tanah sekolah menjadi hangat selepas pihak LPS menandatangani surat perjanjian selepas menghadiri satu mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor pada bulan lepas.
"Yang pelik, sehingga hari ini pihak LPS enggan mendedahkan kandungan surat.
"Saya sendiri sebagai pengerusi PIBG sekolah tidak dibenarkan untuk melihat surat tersebut.
"Apa yang perlu dirahsiakan. Ibu bapa risau kerana kemungkinan terdapat terma dan syarat yang tidak adil kepada sekolah," katanya.
Ketika dihubungi, seorang wakil LPS memberitahu Malaysiakini bahawa pihak akan membuat satu mesyuarat pada 7 Mac ini untuk memberi penjelasan.
"Buat masa ini, kami tidak nak memberitahu apa-apa. Tunggu sampai 7 Mac... kami akan menjelaskan," kata wakil itu yang tidak ingin mendedahkan namanya.
Syarat PKNK
Sementara itu, Malaysiakini melihat surat perjanjian bertarikh 8 Feb itu yang diterima menerusi sumber terdekat pihak sekolah.
Antara terma syarat diletakkan oleh PKNK adalah: Sebarang binaan bangunan atau kemudahan tambahan selain yang sedia ada tidak dibenarkan.
PKNK juga berhak menarik balik kebenaran menduduki secara sementara pada bila-bila masa dengan memberikan notis awal tiga bulan.
Pihak sekolah perlu mengosongkan tanah tersebut dengan serta-merta tanpa sebarang pampasan dalam masa tiga bulan setelah menerima notis tersebut.
Selain pihak sekolah diminta mengambil pelindungan insurans, mereka juga perlu menanggung rugi perbadanan sepenuhnya atas sebarang liabiliti yang timbul dan dikenakan terhadap perbadanan.
Pihak sekolah perlu membuat surat kepada PKNK untuk pembaharuan kebenaran menduduki sementara enam bulan sebelum perjanjian itu tamat.
Kebenaran sementara pada masa ini akan tamat pada 31 Januari 2024.
PKNK adalah sebuah agensi di bawah kerajaan negeri yang menjana ekonomi negara dan bertanggungjawab untuk pembangunan sosial korporat (CSR).
Kami cuba membantu
Dalam pada itu, pegawai khas kepada menteri besar Kedah BK Kumaresan menafikan bahawa kerajaan negeri bersifat perkauman dalam isu tanah sekolah itu.
"Sebenarnya, kami cuba membantu sekolah tersebut.
"Walaupun, PKNK memberi kebenaran sementara secara percuma selama tiga tahun, pihak sekolah juga masih boleh membuat permohonan ke atas tanah tersebut.
"Dalam masa tiga tahun, pihak sekolah boleh meminta tanah diberikan secara percuma kepada sekolahnya.
"Sekiranya, mesyuarat kerajaan negeri setuju, maka tanah itu akan digazet kepada sekolah," katanya.
Difahamkan, PKNK sebelum ini membuat tawaran dengan mengenakan bayaran sebanyak RM163,000 kepada sekolah untuk memajak tanah tersebut selama 30 tahun.
Bagaimanapun, pihak sekolah menolak tawaran tersebut kerana tiada dana untuk membayarnya.
Jangan rumitkan keadaan
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution yang melawat sekolah tersebut semalam meminta Sanusi supaya tidak merumitkan keadaan dan digesa kaji balik keputusan memberikan kebenaran menduduki sementara.
"MB Kedah pada 2010 telah memberikan tanah secara percuma untuk mendirikan bangunan tambahan sekolah.
"Sebenarnya isu ini sudah selesai pada 2010 semasa bangunan baru tambahan dibina kerana pembinaan bangunan baru sekolah harus memenuhi semua syarat yg ditetapkan kerajaan. Mengapa timbul lagi?
"Saya mohon agar MB Kedah rujuk balik minit mesyuarat exco untuk tahun 2010 atau 2011," katanya.
Saifuddin berkata bahawa sekolah telah memohon dana untuk bangunan tambahan pada tahun 2010 dan Kementerian Pendidikan Menteri (KPM) telah luluskan peruntukan.
"Tetapi bangunan tidak dapat dibina kerana tanah bukan milik sekolah. Dengan ini pengerusi PIBG pada masa itu telah tulis surat kepada MB Kedah masa itu dan Exco negeri S Manikumar
"MB telah berikan kelulusan untuk menduduki dan bangunan tambahan sekolah telah didirikan. Jika bangunan baru dibina ia mesti dengan memenuhi semua syarat yang ditetapkan. Adakah MB sekarang tidak faham?" soalnya.
Tambahnya, dia akan melancarkan satu kutipan dana untuk dapatkan balik tanah sekolah ini secara pajakan selama 30 tahun sebagai satu penyelesaian sementara, sekiranya, MB masih nak kekalkan keputusan pajak setiap tiga tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan