SEMPORNA: Lebih 90 penduduk yang menghuni 16 rumah atas air di Kampung Simunul Icebox, di sini, berdepan detik cemas apabila berlaku ribut dan puting beliung yang mengakibatkan kerosakan rumah tengah malam tadi.
Mangsa, Sadad Maruji, 46, yang ditemui Bernama berkata ketika itu berlaku angin kencang, hujan lebat serta petir secara tiba-tiba dan disusuli kejadian puting beliung pada jam 12 tengah malam.
"Saya sekeluarga sudah tidur, namun saya tersedar dan ketika itu rumah bergegar saja. Selepas satu jam lebih kemudian berlaku ribut dan kejadian puting beliung selama seminit yang menerbangkan atap serta dinding rumah.
"Kejadian puting beliung ini pernah berlaku pada tahun 2000 dan 2016, namun tidak seteruk kejadian tengah malam tadi kerana banyak rumah rosak. Semalam, puting beliung itu berpatah balik dari arah laut dan berpusar mengenai atas rumah," katanya.
Abdul Rashid Sebly, 62, pula beranggapan dirinya sedang bermimpi sebaik terbangun akibat terkejut mendengar bunyi kuat seolah-olah bom diletupkan dan mata pula terus menatap pemandangan langit.
"Ini pertama kali atap rumah diterbangkan puting beliung bersama dinding dapur serta peralatan dapur termasuk dapur gas.
"Ketika kejadian itu kami sekeluarga agak kelam kabut, masing-masing menjaga diri, rumah kami juga turut dimasuki air hujan dari atap," katanya yang menganggar kerugian dialami RM12,000.
Seorang lagi mangsa, Sazal Nihalan, 46, pula berharap kejadian menimpa penduduk kampung itu mendapat perhatian dan segera dibantu dari segi kerja baik pulih rumah selain diberikan bantuan keperluan seperti makanan asas.
Pengerusi Persatuan Nelayan Semporna Salleh Abdul Salleh, berkata sebanyak 14 daripada 16 rumah yang dilanda puting beliung itu adalah rumah nelayan.
"Saya berharap pemimpin setempat dan agensi berkaitan dapat tampil segera bagi memberi bantuan kepada penduduk terjejas," katanya.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah Semporna, Nurul Fadilah Abdul Hamid berkata, seramai 97 mangsa daripada 16 keluarga terjejas dalam kejadian itu.
"Disyorkan mangsa yang terjejas diberikan bantuan peralatan dapur, makanan mentah dengan perbelanjaan ditanggung oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah," katanya.
Menurutnya, sehingga kini tiada laporan mengenai kemalangan jiwa serta tiada pusat pemindahan dibuka akibat kejadian itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan