Jumaat, 19 Mac 2021

Kilang ‘halal’ punca pencemaran

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
ANTARA kilang yang dikesan membuang sisa efluen yang tidak mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

SHAH ALAM: Kegagalan kilang-kilang berdaftar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya dalam rawatan sisa efluen menjadi punca kebanyakan kejadian pencemaran sungai di negeri ini sekali gus menolak tanggapan ia disebabkan sepenuhnya oleh kilang haram.

Dalam tempoh dua tahun lalu sahaja, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan sebanyak 246 kompaun membabitkan nilai kira-kira RM492,000 kepada pemilik premis dan kilang berlesen di negeri ini.

Sehingga kini, kilang yang berdaftar dengan JAS adalah sebanyak 12,764 buah yang mana antara tertinggi adalah pengilangan logam iaitu 918 buah diikuti asas kimia (717 buah), kayu (696 buah), plastik (686 buah) dan makanan serta minuman (544 buah).

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 918 kilang didapati menjalankan aktiviti membabitkan pembuangan sisa efluen.

Pemilik kilang dikatakan mengambil jalan mudah dengan membuang sisa secara tidak teratur hanya kerana mahu mengelak daripada menanggung kos pengurusan kawalan pencemaran dan air buangan (efluen).

Malah, ada segelintir daripada pemilik premis tidak mahu merawat sisa efluen dengan teratur bagi mengelakkan dipantau pihak berkuasa.

Tindakan membuang sisa efluen tanpa dirawat sewenang-wenang memberi kesan besar kepada pengguna yang menanggung masalah gangguan bekalan air seperti dialami kira-kira enam juta penduduk merangkumi Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam,Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, baru-baru ini.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pemilik kilang yang melakukan aktiviti membabitkan sisa efluen itu seharusnya menyediakan sistem rawatan sebelum melepaskannya ke dalam longkang yang akhirnya mengalir ke dalam sungai.

Memberi contoh kilang memproses makanan yang menggunakan air untuk menjalankan aktiviti perniagaan, sumber berkata, sebelum melepaskan efluen, mereka perlu merawatnya sebelum dibuang ke dalam longkang.

“Sisa efluen yang dibuang mestilah mencapai satu standard alam sekitar. Namun apa yang berlaku sebaliknya mereka terus membuangnya dan akibat tidak dirawat air berwarna hijau atau merah kelihatan berbanding yang sepatutnya berwarna jernih.

“Ada segelintir pemilik premis mempunyai sistem rawatan efluen tetapi telah rosak. Mereka memberi alasan tidak mempunyai duit untuk memperbaiki dan meneruskan proses tanpa kawalan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

sumber berkata, kebiasaannya pemilik kilang tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan untuk kos penyelenggaraan yang agak tinggi.

“Kos penyelenggaraan kira-kira RM50,000 dan ada juga yang melebihi RM200,000 setahun bergantung kepada premis. Malah, ada juga premis kilang masih menggunakan sistem lama yang mana kurang cekap dan tidak dinaik taraf.

“Ia bergantung kepada kapasiti kilang, jika besar premis tersebut, pengeluaran juga tinggi dan bangak efluen yang perlu dirawat sekali gus berlaku peningkatan kos.

“Pemilik premis sepatutnya bertanggungjawab dengan melantik orang yang kompeten untuk mengawal selia operasi sistem rawatan efluen,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: