PUTRAJAYA: Umat Islam di seluruh negara dijangka mula berpuasa fardu Ramadan 1442 Hijrah pada 13 April ini kerana anak bulan diramal kelihatan pada petang 29 Syaaban.
Demikian pandangan seorang pakar ilmu falak terkenal tempatan, Hanafiah Abd. Razak ketika dihubungi Utusan Malaysia yang berpandukan kaedah rukyah atau cerapan bulan di angkasa.
Jika jangkaan itu tepat, ia sekali gus menyaksikan lebih 1.8 bilion penganut agama Islam di seluruh dunia buat julung kalinya dalam sejarah mula berpuasa Ramadan serentak pada tarikh berkenaan.
Ini susulan kesemua negara minoriti penduduk Islam menetapkan permulaan puasa yang berdasarkan kaedah hisab atau kiraan pergerakan bulan kerana cara rukyah dianggap agak sukar.
Ini terutama badan Muslim di negara benua Amerika, Eropah dan Australia kerana kekangan sumber untuk penentuan secara rukyah.
Negara Islam di Asia dan Afrika masih menggunakan kaedah rukyah bagi menentukan tarikh penting takwim Hijrah.
Hanafiah yang juga Imam Masjid Kota Iskandar di Iskandar Puteri, Johor menjadikan Tanjung Cincin, Pulau Langkawi, Kedah sebagai lokasi hitungan hilal (anak bulan) pada kali ini.
“Anak bulan Ramadan 1442 diunjurkan mula al-ijtima’ atau lahir pada pukul 10.33 pagi 12 April ini sebelum matahari terbenam atau maghrib di Tanjung Cincin pada 7.29 malam.
“Usia anak bulan itu adalah lapan jam 56 minit iaitu jarak waktu antara detik kelahiran dengan detik tenggelamnya matahari di kaki langit sebelah barat.
“Apabila usia anak bulan melebihi lapan jam, ia diyakini berada di atas ufuk barat ketika detik terbenamnya matahari dan berkemungkinan dapat dilihat di kaki langit semasa maghrib,” katanya.
Menurutnya, fenomena alam yang juga dirujuk sebagai imkanul rukyah atau detik tenggelam matahari membolehkan anak bulan kelihatan dapat dicerap sehingga pukul 7.46 malam tarikh itu.
“Sehubungan itu, anak bulan Ramadan 1442 dijangka berada di atas ufuk barat selama 17 minit dan berkemungkinan dapat dilihat jelas 10 minit selepas terbenam matahari,” jelas beliau.
Hanafiah menjangkakan, cahaya anak bulan tersebut muncul secara terang kelihatan pada pukul 7.39 malam sehingga 7.46 malam iaitu dalam masa hanya tujuh minit.
Bagaimanapun beliau berkata, penetapan rasmi tarikh 1 Ramadan 1442
tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja
Melayu pada petang 12 April ini. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan