Rabu, 3 Mac 2021

Kes ugutan terhadap kakitangan pejabat kesihatan, warga Nabawan diminta bertenang

KOTA KINABALU: Warga Nabawan diminta supaya bertenang dan membiarkan pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka dalam menangani kes COVID-19 yang dilaporkan meningkat di daerah itu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey Suan, berkata ia penting bagi memastikan kes COVID-19 yang naik mendadak disebabkan Kluster Sinsingon dapat ditangani dengan berkesan.

"Semua mengetahui Kluster Sinsingon sebagai punca kes COVID-19 di daerah ini meningkat. Kita harus memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sejak penularan pandemik awal tahun ini, mereka (barisan hadapan) bekerja tanpa mengira penat untuk melawan pandemik dan kita harus menghargai tugas dan bukan memperkecil pengorbanan mereka," katanya di sini.

Beliau mengulas mesej tular dalam Facebook Pejabat Kesihatan Nabawan mengenai ancaman atau ugutan yang diterima pegawainya daripada orang awam berkaitan peningkatan kes COVID-19 di daerah itu.

Nabawan mencatat 11 kes baharu COVID-19 dan kekal sebagai daerah paling banyak kes baharu selain satu-satunya daerah mencatat kes dua angka di Sabah, semalam.

Ia juga adalah satu-satunya daerah di Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 16 Mac selepas kira-kira 200 kes COVID-19 dikesan di 15 kampung.

Kluster Sinsingon yang menjadi punca peningkatan kes itu kini turut merebak hingga ke Keningau, Kota Kinabalu dan Beaufort. Kluster itu dikenal pasti tercetus melalui satu upacara pengebumian yang diadakan bulan lalu dan dikesan selepas tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan didapati positif COVID-19 melalui saringan balik ke asrama.

Berdasarkan kiriman yang tular di laman Facebook Pejabat Kesihatan Nabawan, barisan hadapan di daerah itu mendakwa menerima pelbagai bentuk ancaman berikutan kes COVID-19 yang naik mendadak.

Kiriman di Facebook itu turut menjelaskan bahawa petugas kesihatan di daerah itu bekerja keras melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat. Mereka tidak minta penghormatan tetapi sekadar kerjasama masyarakat.

Difahamkan, ada kalangan penduduk yang tidak berpuas hati dengan jumlah kes COVID-19 yang naik secara mendadak di daerah itu sehingga dikenakan PKP selain Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kampung iaitu Sinsingon dan Lotong.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Keningau, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai kes ugutan yang dimaksudkan.

Sehubungan itu, katanya, Pejabat Kesihatan Nabawan diminta membuat laporan agar siasatan berhubung perkara itu dapat dilaksanakan.

"Kita tunggu laporan polis dibuat terlebih dahulu namun siasatan masih diteruskan. Kita juga sudah menghubungi pihak PKD Nabawan," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan: