Ahad, 21 Mac 2021

Dr Samsiah rintis Bidang Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal

Ihsan Noorzali
Dr Samsiah penyelidik pertama di Malaysia meneroka bidang Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal. - Foto ihsan UPSI
Dr Samsiah penyelidik pertama di Malaysia meneroka bidang Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal. - Foto ihsan UPSI

TANJUNG MALIM: Penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Samsiah Mohd Jais dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menjadi perintis memperkenalkan Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal, bidang baharu dalam pengkhususan kaunseling.

Beliau ketika ditemui berkata pendidikan kaunseling di Malaysia melangkah setapak ke hadapan apabila mengetuai penyelidikan sekali gus mengambil langkah yang proaktif meneroka bidang berkenaan.

Samsiah berkata hasratnya menjadi kenyataan apabila pada 16 Februari lalu permohonan Perakuan Amalan (Provisional Accreditation) program Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal) telah diluluskan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) setelah melepasi penilaian Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).

"Segala kepenatan, kesukaran dan halangan yang dilalui bersama rakan sepasukan dalam melengkapkan dokumen MQA dan KPT selama hampir empat tahun seperti tidak terasa sehingga mencipta kejayaan terbesar dan terindah dalam sejarah pendidikan kaunselor di negara ini," katanya.

Beliau berkata dalam usaha untuk merealisasikan bidang pengkhususan kaunseling yang baharu itu, pasukan pensyarah UPSI yang diketuai beliau berjaya membangunkan beberapa modul latihan untuk meningkatkan kecekapan amalan kesihatan mental dalam kalangan kaunselor yang diperoleh melalui geran-geran penyelidikan dari dalam dan luar universiti.

"Modul latihan ini diterjemahkan kepada bengkel jangka pendek kaunseling kesihatan mental klinikal dan kaunseling krisis dan trauma kepada kaunselor di Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, sekolah, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), MARA, persatuan kebajikan dan ibu tunggal dan pusat kaunseling persendirian," katanya.

Samsiah menjelaskan menerusi Modul Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental, beliau pernah memenangi anugerah emas dalam pertandingan The International Conference dan Exposition On Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA '15) di PWTC Kuala Lumpur pada tahun 2015 selain berjaya menghasilkan prototaip produk pendidikan kaunseling kesihatan mental klinikal untuk membantu kaunselor menangani gangguan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Kit Pendidikan Kaunseling Kesihatan Mental (KPKKM) terhasil dari beberapa kajian iaitu kajian yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi iaitu Fundamental Research Grant Scheme, dan Prototype Research Grant Schemeserta dua geran universiti.

KPKKM, katanya, dapat meningkatkan kecekapan kaunselor dan mereka dalam profesion menolong secara teori, praktis dan klinikal dalam mengendalikan kes berkaitan gangguan mental dan trauma.

Samsiah yang memiliki Ijazah Kedoktoran (Doctorate of Counselling) dari University of South Australia, Australia sebelum ini turut mengikuti program sangkutan (attachment) selama empat bulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, Perak dalam bidang kaunseling kesihatan mental.

Beliau yang juga Ketua Program Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal) turut membangunkan program sarjana kaunseling yang mengkhusus kepada kesihatan mental yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Tiada ulasan: