PETALING JAYA: Golongan pendidik menasihati ibu bapa supaya tidak menekan anak mereka dalam memilih profesyen tertentu, dan menyarankan mereka mengadakan perbincangan terbuka dengan anak-anak serta membiarkan minat dan kemahiran mereka menentukan laluan kerjaya mereka.
Bercakap di forum bersempena Hari Kebahagiaan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), profesor psikologi Deborah Hall berkata ia membantu memastikan pelajar menikmati peralihan positif dalam kehidupan di universiti.
Hall, dari Heriot-Watt University Malaysia, berkata “walaupun mempunyai pilihan untuk menentukan masa depan kita adalah satu keistimewaan, ia boleh menjadi beban,” kerana pilihan yang ada untuk lepasan sekolah kadang-kala mengelirukan dan mencetus tekanan.
“Mesej kepada ibu dan bapa: tolong tahan keinginan anda untuk membuat keputusan bagi pihak anak apabila tiba masanya nanti. Cuba kekalkan pemikiran yang terbuka dan fleksibel, serta tanamkan rasa ingin meneroka beberapa pilihan itu bersama.
Katanya, pendekatan yang lebih positif adalah dengan mempertimbangkan minat, hobi dan kekuatan anak, serta membincangkan di mana kelebihan ini paling baik diterapkan ketika memilih pendidikan tinggi.
Menyentuh soal kelas dalam talian, Martha Caddell dari Akademi Pembelajaran dan Pengajaran Heriot-Watt University UK mengingatkan guru untuk terus menerapkan kegembiraan dan kesejahteraan “sebagai elemen utama” dalam pembelajaran pelajar mereka dan memastikan kelas tidak hanya bergantung kepada video yang dirakam dan kuliah maya.
Beliau berkata pelajar perlu diberi tugas praktikal yang dapat mereka lakukan dari rumah untuk membantu menerapkan apa yang telah dipelajari, seperti tugasan kreatif atau modul interaktif, supaya mereka dapat terus terlibat dengan subjek tersebut.
“Terdapat banyak penyelidikan yang menekankan bagaimana kesejahteraan pelajar mempengaruhi pembelajaran mereka, dan bagaimana pelajar diajar dan dinilai seterusnya mempengaruhi kesihatan mental mereka. Ia sangat penting untuk pembelajaran dalam talian,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan