Oleh Ramli Ibrahim
Mohamad Lir bersama empat anaknya yang tinggal di rumah usang di RTK KESEDAR. - NSTP/ Ramli Ibrahim
GUA MUSANG: Enam beranak yang berteduh di rumah usang di rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 1, di sini, menjadikan kegiatan menjual telur itik sebagai pendapatan utama bagi menyara keluarga.
Mohamad Lir Abdul Rahman, 51, berkata dia dan isterinya yang juga generasi kedua KESEDAR itu berusaha membesarkan empat anak termasuk seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU) dengan menternak 15 ekor itik selepas tidak dapat bekerja akibat cedera ditimpa dahan pokok dokong tiga tahun lalu.
Katanya, pendapatan yang terhad menyebabkan rumah usang didiaminya sekeluarga tidak mampu dibaiki dan menunggu masa menyembah bumi kerana lantai dan dinding semakin reput.
"Kami merayu ada pihak dapat membantu mendapatkan rumah baharu yang lebih selesa kerana dapur rumah sudah runtuh dua hari lalu hingga terpaksa memasak dan makan di ruang tidur yang sempit.
"Selain itu, bumbung rumah juga bocor dan tidak dibaiki sehingga kini," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Mohamad Lir berkata, dia hanya boleh melakukan kerja kampung dan menjual telur itik dengan pendapatan RM10 sehari bagi membeli keperluan makanan.
"Pendapatan hasil menjual telur itik terpaksa dijimatkan hingga menyebabkan ada kalanya terpaksa makan nasi sekali sehari saja," katanya.
Isterinya, Lilis Suriani Hussin, 41, pula berkata, beliau yang mempunyai penyakit buasir tahap empat tidak mampu bekerja dan menjaga anak keduanya, Siti Nur Hawa, 12, yang OKU dan terlantar akibat sakit saraf.
"Walaupun, anak OKU kami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, tetapi itu untuk perbelanjaan dia saja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan