Sabtu, 20 Februari 2021

Yayasan Bank Rakyat taja lebih RM500,000 untuk program tuisyen pelajar.

Oleh OMAR ZIN

  NAZIR Hussin Akhtar Hussin (kiri) dalam Program Tuisyen Road To Success yang dijalankan secara dalam talian dan disertai hampir 300 pelajar.

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat memperuntukkan hampir RM550,00 untuk menaja 253 Program Tuisyen Rakyat sepanjang tahun 2020 di seluruh negara walaupun ketika pandemik Covid-19.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, program ini memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan terutamanya masyarakat luar bandar dan miskin bandar, tambahan ilmu pengetahuan dan pengetahuan cara untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Katanya, ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, Yayasan Bank Rakyat amat berharap program ini dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar terutamanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan.

“Semoga dengan usaha ini, pelajar-pelajar bagi program ini berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM Isnin ini,” katanya.

Dalam majlis perasmian yang dijalankan secara dalam talian hari ini, ia disertai hampir 300 pelajar yang menerima bantuan pendidikan melalui Program Tuisyen Road To Success.

Program tuisyen ini dijalankan secara norma baharu (pembelajaran secara online) iaitu pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bertujuan membantu meningkatkan keyakinan pelajar-pelajar ini menjawab soalan peperiksaan SPM.

Program itu dikelolakan oleh Kelab Rakan Motivasi (KRM) Kuala Lumpur, yang merupakan badan yang bertindak bagi melaksanakan inisiatif ini. 

Turut hadir Pengerusi Kelab Rakan motivasi (KRM) Kuala Lumpur, Ahmad Badli Badaruddin dan Ketua Bahagian Operasi Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Pada masa sama, Nazir berharap penganjuran program seperti ini dapat memberi inspirasi kepada organisasi-organisasi lain bahawa program bantuan masih boleh dilaksanakan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Bersyarat (PKPB) seperti kelas-kelas tuisyen secara atas talian atau pelbagai lagi bentuk program-program kemasyarakatan.

“Yayasan Bank Rakyat akan lebih berusaha dan memperbanyakkan lagi program-program seperti ini yang bukan sahaja dapat membantu pelajar sekolah dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik, malah dapat membantu meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara supaya selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan walaupun dilakukan secara live di alam maya,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: