Jumaat, 5 Februari 2021

Warga emas mati di ruang tamu

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
 

GEORGETOWN: Mayat seorang warga emas wanita dijumpai dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumahnya di Taman Sri Perak, Jelutong, di sini hari ini.

Mayat wanita berusia 75 tahun itu ditemukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak selepas menerima panggilan berhubung pukul 10.12 pagi.

Difahamkan, jiran mangsa sebelum itu menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi memaklumkan kejadian selepas wanita berkenaan tidak memberi maklum balas ketika dipanggil pagi ini.

Pegawai Operasinya, Yusri Zakaria berkata, pihaknya mengambil masa lima minit untuk memecahkan pintu pagar besi dan kayu rumah mangsa menggunakan peralatan khas.

Katanya, sebaik sahaja pintu dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu.

“Kita percaya, wanita itu baru meninggal dunia pagi tadi berikutan keadaan mayatnya yang masih elok.

“Kita dimaklumkan oleh jirannya yang mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan dan setiap pagi dia akan keluar di hadapan rumah. Tetapi pagi ini, dia langsung tidak keluar bertemu jiran terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yusri memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan operasi itu tamat sepenuhnya pukul 10.41 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: