Jumaat, 5 Februari 2021

336 gajah liar ditangkap sejak 2011.

TEMERLOH: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, di sini, menangkap 336 gajah liar di tujuh negeri dalam tempoh 10 tahun sejak 2011.

Mamalia berkenaan yang dikesan menceroboh kawasan penempatan termasuk bertindak memusnahkan tanaman kelapa sawit dan kebun milik penduduk setempat ditangkap dan dipindahkan ke habitat semula jadi.

Ketua PKGK Kuala Gandah Lanchang, Muhammad Khairul Adha Mat Amin, berkata Kelantan mencatat tangkapan terbanyak iaitu 78 gajah, diikuti Perak (76); Johor (61); Pahang (58); Terengganu (50); Negeri Sembilan (sembilan) dan Kedah (empat).

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, Kelantan mencatat jumlah terbanyak tangkapan iaitu 16 gajah, diikuti Johor (sembilan); Terengganu (enam); Perak (empat) dan Pahang (tiga).

Katanya, pihaknya turut menangkap enam gajah liar iaitu lima

di Kampung Kuala Tiga, Kelantan dan seekor di Kampung Tiat, Lipis.

"Kerjasama diberikan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri dapat melancarkan lagi setiap kali operasi memindahkan haiwan berkenaan dilakukan.

"PKGK Kuala Gandah Lanchang kini mempunyai dua gajah denak iaitu Abot dan Rambai yang akan terbabit setiap kali operasi memindahkan gajah liar, kemahiran dimiliki Abot dan Rambai melancarkan operasi dilakukan.

"Namun, jika ada keperluan dua gajah denak Suria dan Kaila dari Sungai Deka, Terengganu digunakan untuk membantu melancarkan lagi operasi terutama di kawasan Pantai Timur," katanya.

Muhammad Khairul Adha berkata, seramai 20 hingga 25 kakitangan akan terbabit setiap kali operasi memindahkan gajah liar dan pihaknya

sedang menjalankan operasi mengesan dan menangkap kumpulan gajah di Jerantut.

Tiada ulasan: