Jumaat, 19 Februari 2021

Warga asing, PATI diberi vaksin demi lindungi rakyat

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) akan menerima suntikan satu dos vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, suntikan vaksin itu adalah bagi memastikan terjaminnya rakyat Malaysia daripada pandemik Covid-19.

“Ia juga bagi mengelakkan penularan kes seperti yang berlaku pada gelombang kedua yang menyaksikan penularan di depoh tahanan imigresen, lokap dan penjara.

“Namun, golongan itu sesuai diberi satu dos sahaja kerana hanya perlu datang sekali untuk suntikan yang akan dilakukan pada fasa keempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Sesi Libat Urus Darurat Covid-19 Siri 3/2021: Keselamatan dan Keberkesanan Vaksin Covid-19 serta Strategi Kementerian Kesihatan bagi melindungi golongan berisiko tinggi secara maya di sini hari ini.

Jelasnya, pekerja asing yang sah, sememangnya perlu mengambil vaksin seperti mana mereka perlu mengambil beberapa vaksin sebelum boleh datang ke negara ini untuk bekerja.

“Bagi PATI pula, kita bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Tindakan ini perlu kerana melihat bagaimana kementerian boleh melindungi komuniti di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sedang melaksanakan kajian membabitkan dua vaksin daripada dua syarikat yang hanya memerlukan satu suntikan. UTUSAN

Tiada ulasan: