PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membidas kenyataan yang mendakwa pihak berkuasa tidak berhak menahan mana-mana individu didapati gagal membawa atau mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan.
Tegas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, kenyataan itu bercanggah peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.
Katanya, kegagalan mana-mana individu yang mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa diperiksa polis adalah satu kesalahan di bawah peraturan 25(1)(n) PPPN 1990.
“Mereka boleh ditahan tanpa waran di bawah peraturan sama.
“Hukuman yang dikenakan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Acryl Sani, orang ramai diingatkan agar sentiasa membawa dokumen pengenalan diri sebagaimana peruntukan di bawah Peraturan 6 PPPN 6 1990.
“Orang ramai perlu bekerjasama dengan pihak polis semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan