Sabtu, 20 Februari 2021

Video murtad: Rani Kulup selar Jakim lemah, menteri agama senyap

Malaysiakini

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah menyifatkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai lemah sehingga membiarkan kejadian murtad berlaku tanpa sebarang tindakan.

Abdul Rani juga mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad berhubung video memaparkan pengakuan seorang lelaki memurtadkan seorang wanita Islam.

Dia berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengenai isu video berkenaan yang kini tular di media sosial.

"Jakim itu lemahlah. Itu sebab orang berani usik agama.

"Kenapa menteri agama tak keluarkan kenyataan? Sepatutnya dah tular beberapa hari, kenapa diam? Kenapa majlis agama Islam negeri diam?

"Jakim itu sendiri lemah, itu sebab orang boleh mempermainkan agama. Jakim (harus) ambil tindakan tegas. Naikkan kepada kementerian, baru betul," katanya kepada pemberita di luar IPD Sentul.

Turut hadir membuat laporan polis ialah wakil Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).

Video yang dimaksudkan itu dimuat naik di sebuah saluran Youtube, memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.

Lelaki itu turut memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.

Di media sosial, video dalam bahasa Tamil itu tersebar dan disertakan dengan sari kata bahasa Melayu.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini di saluran Youtube itu mendapati isteri lelaki berkenaan ada memuat naik satu video permohonan maaf.

Lelaki itu turut memuat naik video permohonan maaf di saluran yang sama.

Dalam video tersebut, wanita berkenaan mengaku dia sebenarnya bukanlah warganegara Malaysia, tetapi warganegara Indonesia.

Dia juga berkata video yang dibuat suaminya sebelum itu bukanlah ditujukan untuk warganegara Malaysia beragama Islam.

'Jangan jadi hero nak kutip dia'

Berdasarkan laporan polis, Abdul Rani berkata video itu memberikan gambaran seolah-olah mudah untuk murtad, selain beberapa kenyataan yang dianggap menghina agama Islam.

Kata Abdul Rani, tujuan dia membuat laporan polis adalah bagi menggesa Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jakim dan majlis agama islam negeri untuk menyiasat perkara berkenaan sehingga ke akar umbi.

Bagaimanapun, Abdul Rani menegah keras masyarakat Islam daripada mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat.

"Kepada rakyat Malaysia, jangan kamu mengambil tindakan sendiri nak apa-apakan dia, nak cari dia. Tak payah. Itu kerja polis. Biarlah polis yang mengambil tindakan.

"Jangan sesekali kita nak jadi hero, nak pergi rumah dia ke, nak kutip dia ke, itu salah! Itu tak betul. Dah jadi kes lain," tegasnya.

Tiada ulasan: