Sabtu, 20 Februari 2021

Vaksin: MB jadi penerima pertama di Kelantan

Oleh ROHANA MOHD. NAWI
AHMAD Yakob disenaraikan sebagai individu pertama yang bakal menerima suntikan vaksin Covid-19.

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob disenaraikan sebagai individu pertama yang bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, suntikan vaksin fasa pertama itu dijangka bermula awal Mac depan.

“Selain petugas barisan hadapan, suntikan vaksin terawal akan diberikan kepada pemimpin serta wakil rakyat kerana mereka berjumpa masyarakat pada setiap masa. 

“Jika tugasan pemimpin dan wakil rakyat ditangguhkan, banyak perkara berkaitan kebajikan rakyat yang akan terbengkalai,” katanya kepada pemberita petang ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Pukat Ikan Dalam Sangkar kepada 33  penerima terdiri daripada nelayan di Kampung Pulau Kundor, di sini.

Mengulas mengenai situasi Covid-19 di Kelantan, Dr. Izani memberitahu bilangan kes positif yang semakin menurun bukan jaminan untuk semua pihak bersikap sambil lewa.

Katanya, kerajaan negeri berharap tahap pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) tidak merosot apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

“Kerajaan negeri akan menyelaraskan semua SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa PKPB dalam satu mesyuarat pada Ahad ini.

“Pelaksanaan PKPB adalah untuk memberi ruang dan kelonggaran kepada rakyat dalam aktiviti harian kerana kes Covid-19 sudah semakin menurun di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: