Jumaat, 19 Februari 2021

Vaksin ditukar jika ada alahan

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR

PUTRAJAYA: Mereka yang didapati mengalami alahan dengan dos pertama vaksin Covid-19 akan menerima dos kedua yang dibangunkan syarikat lain.

Ketua Sektor Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Mohd Hanif Zailani berkata, penerima vaksin yang mengalami alahan perlu memulakan semula program pelalian Covid-19, menggunakan jenis vaksin berlainan.

“Jika penerima vaksin Pfizer mengalami alahan, mereka perlu mengulangi pelalian, mungkin menggunakan vaksin AstraZeneca dan mereka tetap akan diberikan dua dos juga.

“Baki dos Pfizer itu pula akan digunakan kepada penerima lain,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Sesi Libat Urus Darurat Covid-19 Siri 3/2021: Keselamatan dan Keberkesanan Vaksin Covid-19 serta Strategi Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melindungi golongan berisiko tinggi secara maya bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, bekas pesakit Covid-19 boleh dijangkiti semula wabak itu.

Katanya, bagi mengelakkan jangkitan semula, vaksin diperlukan untuk membolehkan badan mempunyai anditbodi yang kuat.

“Ia bergantung kepada tahap jangkitan yang dihidapi bekas pesakit kerana antibodi mereka hanya mampu bertahan lapan bulan.

“Bagi pesakit kategori satu dan dua, imuniti kurang sikit berbanding pesakit yang kategori empat dan lima,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: