Jumaat, 19 Februari 2021

Tiada kompromi status kawalan dadah – PM

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

MUHYIDDIN YASSIN

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu penyalahgunaan dadah merupakan isu global yang kompleks dan sukar untuk dibendung sepenuhnya berikutan perubahan trend dan kemunculan jenis dadah baharu di pasaran global. 

Menurut Perdana Menteri, sebelum ini pelbagai sasaran telah ditetapkan seperti Sifar Dadah dan Malaysia Bebas Dadah 2015.

Beliau berkata, baru-baru ini, Persidangan Semula Sesi Ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik yang diadakan di Vienna telah bersetuju untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961. 

Namun, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan dadah berkaitan seperti yang tertakluk di bawah penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ia jelas banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.

“Kerajaan telah mensasarkan ‘Dadah Terkawal 2025’ sebagai perancangan jangka masa lima tahun akan datang seiring dengan matlamat Dasar Dadah Negara. 

“Perancangan yang bersifat inklusif dan holistik ini bertujuan menggembleng usaha di antara sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil ke arah pembangunan masyarakat yang bebas dadah,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Antidadah Kebangsaan, di sini malam ini.

Hari  Antidadah Kebangsaan disambut pada 19 Februari setiap tahun untuk mengingatkan seluruh rakyat tentang bahaya penyalahgunaan dadah yang terus menjadi musuh nombor satu negara sejak tahun 1983.  

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara objektif utama Dadah Terkawal 2025 ialah untuk membersihkan 155 buah Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di seluruh negara, meluaskan liputan rawatan untuk meningkatkan kadar pemulihan dalam kalangan penagih dadah, memperkasa penglibatan komuniti selain mengerakkan agensi-agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara bersepadu dalam menangani isu berkenaan dengan dadah.

Kata beliau, kerajaan juga komited untuk terus membasmi masalah dadah di negara ini supaya ia terkawal dan dapat dibendung secara terancang. 

Sehubungan itu, katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang membangunkan Indeks Antidadah sebagai sebuah kaedah bagi mengukur keberkesanan dari segi penguatkuasaan.

“Bersempena dengan Hari Antidadah peringkat kebangsaan ini, saya ingin merayu agar kita menanamkan azam baharu untuk memainkan peranan melalui program ambil peduli, sokongan sosial yang dianjurkan oleh jawatankuasa penduduk atau pemimpin komuniti bagi mewujudkan persekitaran kejiranan yang selamat dan bebas daripada kegiatan yang boleh menjurus kepada penyalahgunaan dadah.

“Program yang tertumpu kepada belia perlulah memberi penekanan dalam aspek pembangunan sahsiah dan jati diri. Justeru, institusi-institusi pendidikan dan keagamaan menjadi pengantara yang terbaik dan berkesan untuk mendidik dan memberi kesedaran tentang bahaya ketagihan dadah,” katanya. 

Muhyiddin turut mengajak semua pihak agar dapat menyumbang dalam aktiviti kesukarelawanan di bawah Skuad Antidadah yang bertindak sebagai agen perubahan dalam komuniti. 

Beliau menjelaskan, program-program pencegahan dadah yang diadakan dapat membantu memulihkan individu yang terlibat dalam ketagihan dadah.

“Saya juga ingin menyeru agar kita semua memainkan peranan dalam memastikan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan rawatan dan pemulihan dimanfaatkan sepenuhnya. 

“Sebagai contoh, sekiranya mana-mana individu ataupun ahli keluarga didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah, ikhtiar perlu dilakukan untuk mereka hadir ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya secara percuma,” katanya. 

 Beliau memberitahu, sokongan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat setempat adalah amat penting dan sebahagian kejayaan proses rawatan dan pemulihan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau turut berharap Hari Antidadah Kebangsaan pada tahun ini yang bertemakan ‘Lebih Baik Cegah’ memberi mesej yang jelas bahawa masalah penyalahgunaan dadah boleh dicegah dengan lebih awal dengan kerjasama semua pihak. 

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan memperkukuhkan tekad dan azam dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang sifar dadah agar kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dapat dikecapi bersama,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: