Isnin, 22 Februari 2021

Vaksin: Ali Rustam bakal penerima pertama


RAHMAD Mariman ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Ayer Molek, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dicadang menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech fasa pertama di negeri ini yang dijangka tiba lusa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, senarai itu diikuti oleh Ketua Menteri, barisan Pengerusi Jawatankuasa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama-sama petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, bagaimanapun pemberian vaksin itu yang melibatkan kira-kira 10,000 penerima di negeri ini dijadualkan hanya bermula pada 28 Februari ini. 

“Dalam perbincangan baru-baru ini bersama Jabatan Kesihatan negeri, kita mencadangkan agar Yang Dipertua Negeri menjadi penerima pertama vaksin Covid-19. 

“Kemudian barulah Ketua Menteri, barisan Pengerusi Jawatankuasa dan ADUN bersama-sama pasukan frontliners,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai lokasi suntikan vaksin melibatkan Mohd. Ali itu, beliau memberitahu, pihaknya  mencadangkan agar dijalankan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, namun, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Namun, bagi penerima-penerima lain, suntikan fasa pertama ini akan dibuat di tiga buah hospital kerajaan iaitu Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah serta di 13 pusat pemberian vaksin (PPV) di klinik kesihatan seluruh negeri. 

“Dalam pada itu, kita telah berbincang dengan pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dalam memastikan bekalan elektrik tidak terputus di tempat penyimpanan vaksin itu yang diletakkan dalam daerah ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Rahmad turut memaklumkan, Hotel Kobemas, Ayer Keroh akan menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) pertama menempatkan pesakit.

“Hotel Kobemas telah bersetuju menjadi PKRCS pertama di negeri ini untuk membantu menampung jumlah pesakit Covid-19 dengan menyediakan kapasiti 150 bilik untuk setiap pesakit.

“Dimaklumkan kadar bagi rawatan untuk satu malam adalah sebanyak RM300,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: