Isnin, 22 Februari 2021

PIBG SMK Seksyen 10 Kota Damansara taja makan tengah hari kepada calon SPM

KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 10 Kota Damansara menaja makan tengah hari bagi 311 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu, menerusi Program KD10 Prihatin.

Yang Dipertuanya, Maulana Abd Aziz, berkata tajaan makanan tengah hari itu hasil inisiatif bersama pihak sekolah berkenaan akan diberikan kepada calon SPM sepanjang peperiksaan itu berlangsung.

"PIBG menyokong penuh usaha ini kerana Program KD10 Prihatin ini sangat membantu terutama bagi calon SPM 2020 yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Program ini diadakan sebagai tanda keprihatinan pihak sekolah dan PIBG terhadap calon SPM kerana mereka terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang peperiksaan dengan mengehadkan pergerakan serta mengekalkan penjarakan sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maulana berkata, pihaknya turut memberi tajaan penuh makanan kepada dua calon berkeperluan khas (CBK) sekolah itu menerusi dana PIBG SMK Seksyen 10 Kota Damansara sepanjang hari persekolahan.

Pelajar, Kazwini Suhaimi, mengucapkan terima kasih kepada PIBG dan pihak sekolah kerana menaja makanan tengah hari semua calon SPM sekolah berkenaan.

"Masa rehat dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa perlu berulang-alik ke rumah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Kesaf Rajoo, berkata sarapan pagi seperti minuman coklat dan roti yang disediakan amat membantu sebelum menduduki peperiksaan.

"Ada sebahagian daripada kami yang tidak sempat bersarapan pagi. Dengan adanya inisiatif ini sedikit sebanyak membantu kami memberi tumpuan kepada peperiksaan," katanya.

Sarapan pagi disediakan menerusi dana sumbangan guru dengan kerjasama koperasi sekolah.

Tiada ulasan: