KUALA LUMPUR: Tindakan lebih tegas akan diambil tanpa kompromi selepas 4 Feb ini terhadap mana-mana individu yang mengingkari perintah kawalan pergerakan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata ini kerana setiap hari, kes Covid-19 dilaporkan meningkat khususnya melibatkan pekerja tapak pembinaan dan kilang.
“Kedua-dua sektor berkenaan (pembinaan dan kilang) merupakan antara penyumbang tertinggi kes Covid-19 di dalam negara ini.
“Seperti yang semua sedia maklum, kita tidak ada lagi kluster pasar pagi dan kluster gerai tepi jalan kerana kita ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain mengambil tindakan berdasarkan fakta yang ada,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak.
Ismail Sabri berkata semua majikan kedua-dua sektor diarah melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka mulai hari ini di seluruh negara.
Beliau berkata sebelum ini, hanya pekerja asing di sektor terbabit di enam negeri sahaja diwajibkan berbuat demikian.
“Ia adalah untuk memantau status kesihatan pekerja asing yang berkemungkinan menyebarkan Covid-19 dalam kalangan komuniti tempatan,” katanya.
Ismail Sabri berkata Ordinan Darurat juga akan dipinda dari segi perumahan pekerja asing yang merupakan antara punca peningkatan kes Covid-19.
“Perumahan pekerja asing ini tidak kondusif kerana kebanyakan mereka tinggal di rumah dalam keadaan berhimpit seperti dua atau tiga orang untuk satu rumah.
“Ordinan Darurat akan dipinda untuk memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang baik kepada pekerja asing mereka dan Ordinan Darurat boleh melakukan perkara itu,” katanya.
Beliau juga berkata sudah banyak kilang ditutup kerana melanggar SOP dan terdapat pekerjanya yang positif Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan