Selasa, 2 Februari 2021

Tiada ancaman siber seperti dikatakan Anonymous Malaysia - Ismail Sabri

BH ONLINE

Foto hiasan AFP

KUALA LUMPUR: Sistem pertahanan dan laman-laman web kerajaan berada dalam keadaan selamat daripada sebarang ancaman siber setakat ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman kumpulan hacktivist 'Anonymous Malaysia' yang pada minggu lalu mengancam untuk menggodam sistem pertahanan negara serta laman-laman web kerajaan.

"Tiada insiden penggodaman mana-mana laman web kerajaan setakat ini dan kita harap kementerian akan terus selamat daripada digodam," katanya selepas tinjauan sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak hari ini.

Pada 29 Januari lalu, polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap 'Anonymous Malaysia' yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber selepas ancaman serupa dibuat pada 2017.

Sementara itu, mengulas mengenai penugasan sekatan jalan raya dan rondaan bersama polis dalam memantau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata sehingga kini seramai 3,562 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam penugasan Operasi Penawar (Op Penawar) itu.

"Seramai 3,027 anggota diatur gerak dalam sekatan jalan raya di seluruh negara manakala 535 anggota lagi terbabit dalam rondaan Unit MPV dan Pasukan Pematuhan," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: