BALIK PULAU: Pengusaha sebuah syarikat penyajian makanan di sini ini mengambil inisiatif menyumbang sebanyak 300 set nasi ayam Kam Heong dan beriani kepada warga barisan hadapan sebagai tanda penghargaan kepada anggota pasukan tersebut hari ini.
Pengasas Arsalan Food Industries, Tariq Madarsha Hajashareef berkata, usaha itu bertujuan menghargai jasa pasukan keselamatan dan kesihatan dalam membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Menurutnya, pengagihan set makanan tengah hari itu melibatkan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ini adalah komitmen kami dalam usaha menghargai pengorbanan dan penat lelah warga frontliner yang sanggup menggadaikan nyawa serta tenaga bagi mengekang wabak itu.
“Memang kami juga antara yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 sejurus memulakan perniagaan makanan ini di rumah pada Julai lalu, namun penghargaan perlu diberikan kepada mereka sebagai tanda terima kasih,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, sumbangan makanan turut diberikan kepada warga barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kompleks Masyarakat Penyayang dan Hospital Pulau Pinang.
Tariq yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah kolej swasta di negeri ini menambah, perniagaan nasi beriani dan campur yang diusahakannya bersama isteri, Sophia Safeen Mohd. Ariff, 38, semakin mendapat sambutan selepas terjejas teruk ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Julai tahun lalu.
“Kami sebelum ini memulakannya secara kecil-kecilan dari rumah dan kini telah membuka sebuah premis bagi urusan penyediaan masakan dan makanan.
“Daripada menerima 20 tempahan sehari kini jumlahnya telah mencecah sehingga 1,000 set sehari dengan tempahan menerusi WhatsApp dan Instagram,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan