Isnin, 15 Februari 2021

30 pelajar jadi perintis terima pakej aplikasi pendidikan premium Think Osem

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
MUHAMMAD Zikri Zulkifli (kiri) menyerahkan pakej aplikasi pendidikan keluaran syarikat Think Osem kepada salah seorang penerima di pejabat pendidikan daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH: Seramai 30 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini terpilih sebagai kumpulan perintis untuk menerima aplikasi premium berkaitan program pendidikan yang dibangunkan syarikat berasaskan teknologi, Think Osem Sdn. Bhd.. 

Projek itu dijalankan dengan kerjasama Biro Pendidikan Armada Bersatu Nasional dan pejabat pendidikan daerah (PPD) SPT dengan jumlah peruntukan keseluruhan kira-kira RM12,000. 

Pengurus Pembangunan Perniagaan Think Osem, Abdul Rasyid Rahman berkata, menerusi projek itu, setiap penerima memperoleh pakej premium menggunakan aplikasi pengajaran dan pembelajaran tersebut selama setahun secara percuma yang dianggarkan bernilai RM399 setiap satu. 

“Kami berharap ibu bapa atau penjaga akan memantau pelajar-pelajar ini bagi memastikan kemudahan yang disumbangkan dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. 

“Pada masa sama, kami juga berharap agar sumbangan itu sedikit sebanyak membantu sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang dilaksanakan ketika ini,” katanya kepada semasa majlis penyerahan sumbangan itu di PPD SPT, di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Exco Pendidikan Armada Bersatu Nasional, Muhammad Zikri Zulkifli dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah SPT, Suhaimi Abdullah. 

Aplikasi pendidikan Think Osem yang merangkumi hampir semua mata pelajaran itu boleh dimuat turun secara percuma di Google Play, namun pakej asas itu hanya membenarkan pelajar mengakses tiga set soalan latih tubi setiap hari. 

Bagaimanapun, menerusi aplikasi premium, pelajar boleh membuat soalan latih tubi tanpa had selain berpeluang mengambil bahagian dalam kuiz atau pertandingan yang ditawarkan secara permainan. 

Menerusinya, pelajar dapat mengumpul ‘syiling emas’ yang seterusnya boleh ditukar dengan pelbagai hadiah menarik termasuk permainan video PlayStation 4 (PS4), komputer riba dan sebagainya. 

Dalam pada itu, Muhammad Zikri memberitahu, pihaknya komited membantu pelajar dan akan terus berusaha memastikan lebih ramai menerima kemudahan sama pada masa depan. 

“Biro Pendidikan Armada Bersatu Nasional juga bersedia untuk mencari lebih banyak dana bagi menyokong tujuan berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: