PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, teknologi 5G akan mula dinikmati rakyat secara berperingkat menjelang hujung tahun ini dan Malaysia akan menjadi antara negara pertama di Asia Tenggara yang membina ekosistem perkhidmatan itu.
Muhyiddin berkata, teknologi 5G akan menjadi “gamechanger” kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang akan membawa kesan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet lebih laju, tetapi lebih penting daripada itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna.
“Ia termasuk aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar dan aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian,” katanya sewaktu berucap pada majlis pelancaran MyDIGITAL & Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.
Katanya, semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses prasarana sama rata dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada para pelanggan.
Beliau berkata, perkongsian kos prasarana itu akan membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan memberi perkhidmatan 5G yang baik serta murah kepada pengguna.
“Sejumlah RM15 bilion akan dilaburkan sepanjang 10 tahun pelaksanaan 5G ke seluruh negara. Ini akan mewujudkan 105,000 peluang pekerjaan. Usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus bawah kerajaan Malaysia. Entiti ini akan diberikan spektrum bersesuaian untuk memiliki, melaksanakan dan menguruskan 5G,” katanya.
Muhyiddin pada masa sama berkata, sejumlah RM21 bilion akan dilabur sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada.
Tambah beliau, rangkaian gentian optik talian tetap juga akan meliputi 100% kawasan berpenduduk secara berperingkat.
“Sejumlah RM1.65 bilion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga tahun 2023. Ini akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekaligus menurunkan kos internet kepada pengguna di Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan