Sabtu, 20 Februari 2021

Malaysia yang kita banggakan

Anis Yusal Yusoff
Malaysia yang kita banggakan
Rakyat mahukan kepastian bahawa kerajaan yang memerintah dapat 
meletakkan kepentingan keselamatan dan kesihatan mereka mengatasi 
segalanya.
 
KALAU ditanya kepada rakyat terbanyak, apakah harapan mereka untuk masa hadapan, sudah tentu ramai yang menjawab bahawa mereka ingin melihat negara ini kembali dikenali sebagai sebuah negara yang ekonominya berkembang pesat. Di mana ramai pelabur yang datang membuka perniagaan dan peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini terbuka luas. Pada tahun 2020, Malaysia hanya berjaya menarik USD2.5B sedangkan Vietnam berjaya menarik hampir USD14B dan Singapura berjaya menarik USD17.2B pada tahun yang sama.
 
Selain kepesatan ekonomi, sudah tentu rakyat juga mahukan keselamatan dan kesihatan yang terjamin. Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik COVID-19 yang mengancam nyawa. Rata-rata rakyat mahukan kepastian bahawa kerajaan yang memerintah dapat meletakkan kepentingan keselamatan dan kesihatan mereka mengatasi segalanya.
 
Selebih daripada itu, rakyat mahu agar anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan yang terbaik tidak kira sekolah mana pun yang mereka pergi. Pendidikan adalah harta yang paling berguna untuk mana-mana ibubapa tinggalkan kepada anak-anak mereka.
 
Negara kita pada hari ini telah melalui pelbagai fasa dalam pembangunan negara. Sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan penubuhan Malaysia dalam tahun 1963, Malaysia telah diperintah oleh tiga koalisi parti-parti politik. Barisan Nasional memerintah negara daripada 1957 ke 2018, Pakatan Harapan daripada Mei 2018 ke Februari 2020 dan sekarang Perikatan Nasional sejak Mac 2020.
 
Rakyat sudah tentu akan membuat perbandingan antara ketiga-tiga kerajaan ini untuk mereka menilai, kerajaan yang mana telah membawa perubahan. Sudah tentu sukar untuk dibandingkan antara ketiga-tiganya kerana yang satu memerintah selama lebih 60 tahun, berbanding yang dua lagi. Namun, indikator-indikator kecil yang dekat dihati rakyat sudah tentu akan dijadikan asas untuk membuat penilaian ini. Seperti yang disebut di permulaan, rakyat perlu rasa terjamin bahawa mereka akan terus mendapat pendapatan. Kesihatan dan keselematan mereka akan diberi keutamaan dan anak-anak mereka akan mendapat pendidikan yang terbaik agar dengan pendidikan, anak-anak ini akan mendapat pekerjaan yang baik yang akan menjanjikan masa depan yang terjamin.
 
Kerajaan yang ada pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk memenuhi semua tuntutan ini. Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac 2020 tidak membantu segala usaha yang telah diambil.
 
Pada waktu ini impak ke atas segala aspek kehidupan termasuk ekonomi dan sosial negara adalah sangat merisaukan. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup, selain ramai rakyat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
 
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kadar pengangguran dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja telah meningkat dua kali ganda antara bulan September dan Disember 2020.
 
Keadaan politik dalam negara juga tidak dilihat stabil. Majoriti masyarakat melihat persengketaan antara parti-parti politik lebih tertumpu kepada usaha satu pihak untuk kekal berkuasa manakala satu pihak lain pula cuba untuk mengambil alih kuasa. Malah ada yang berpendapat, alasan untuk memperkenalkan darurat dalam negara adalah usaha yang dibuat untuk kekal berkuasa. Kebanyakan rakyat tidak merasa kesungguhan pihak Kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat penularan COVID-19. Sebaliknya rakyat merasakan bahawa dasar yang diperkenalkan lebih membebankan rakyat daripada membantu mereka.
 
Apa pun usaha baik yang dibuat oleh Kerajaan pada hari ini tetap dipandang serong dan mendapat reaksi negatif kerana tahap kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan sudah semakin terhakis.
 
Persoalan demi persoalan yang dikemukakan tetapi tidak mendapat satu jawapan yang boleh meyakinkan. Apakah yang perlu dilakukan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati dan dibanggai oleh rakyat Malaysia sendiri.
 
Adakah kita memerlukan satu badan bebas sebagai pengadil yang dapat memperbetulkan masalah dalam negara secara tidak berpihak? Adakah kita sudah sampai ketahap di mana rakyat perlu mengambil alih tugas menjaga negara ini?
 
Yang pasti pada waktu ini terdapat beberapa kerisauan dalam kalangan rakyat. Selain apa yang telah disebutkan dipermulaan artikel ini, ramai yang berpandangan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada isu perpaduan kaum dalam negara.
 
YAB Perdana Menteri baru-baru ini telah melancarkan Blueprint Perpaduan Negara. Syabas penulis ucapkan kepada Kerajaan. Sama penting dengan Blueprint ini adalah agar semua pemimpin kerajaan dan pemimpin politik daripada kedua-dua belah pihak harus menjadi contoh ikutan rakyat Malaysia. 
Mereka harus menunjukkan bagaimana untuk rakyat berbilang kaum hidup bersama.
 
Sebelum ini banyak kajian yang dibuat merumuskan bahawa punca permasalahan antara kaum ini dimulakan oleh pemimpin politik yang memainkan sentimen kaum dan agama untuk kepentingan politik mereka. Ini harus berubah.
 
Kita memerlukan satu naratif yang dapat menggambarkan Malaysia yang kita semua dambakan. Usaha ke arah membina sebuah negara bangsa yang diidamkan oleh semua rakyat harus diceritakan dengan jelas. Dalam drama-drama dan filem-filem kita naratif ini harus dipersembahkan.
 
Bagi membina satu naratif yang dapat difahami dan diterima oleh semua kaum dalam Malaysia, negara memerlukan pemimpin masa depan yang tidak lagi menggunakan isu perkauman untuk memenangi pilihan raya. Malaysia memerlukan pemimpin yang benar-benar dapat mewakili semua kaum dan yang menghargai setiap sumbangan rakyat Malaysia.
 
Sebenarnya sebahagian penting daripada cita-cita untuk menjadikan Malaysia yang kita banggakan terkandung di dalam mukadimah Rukun Negara kita iaitu, bahawasanya Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
 
• Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
• Memelihara cara hidup demokratik;
• Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
• Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
• Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Marilah sama-sama kita dalami hasrat ini dan bersama menjayakannya.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Timbalan Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Tiada ulasan: