SEGAMAT: Kira-kira 20 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat akan menyamar sebagai pelanggan di kedai gunting rambut bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata kaedah penyamaran itu akan dilakukan setiap hari di beberapa lokasi kedai gunting rambut di Segamat bermula hari ini.
"Polis akan memantau sama ada tukang gunting mematuhi SOP iaitu memakai pelindung muka, pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan dan alat mesti dibersihkan menggunakan air panas setiap kali selesai setiap pelanggan," katanya selepas menyertai operasi pemantauan SOP di kedai gunting rambut di Jalan Aji, Segamat di sini, hari ini.
Pemeriksaan mengejut akan dilakukan di kediaman tukang gunting yang menjadikan rumah sebagai premis alternatif bagi memastikan mereka tidak melanggar SOP.
"Anggota kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan turut akan memantau kediaman penduduk jika ada aktiviti gunting rambut dilaksanakan," katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat khas memutuskan kedai gunting rambut antara tiga jenis perniagaan dibenarkan beroperasi semula dengan SOP ketat mulai hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan