Isnin, 8 Februari 2021

Majlis nikah di Wilayah Persekutuan dibenarkan bermula esok .

BH ONLINE
 Hanya lima orang dibenarkan hadir pada majlis pernikahan di semua masjid dan JAWI Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang dibenarkan bermula esok dengan SOP ketat. - Foto hiasan
Hanya lima orang dibenarkan hadir pada majlis pernikahan di semua masjid dan JAWI Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang dibenarkan bermula esok dengan SOP ketat. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Majlis akad nikah dibenar diadakan di semua masjid kariah dan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, berkuat kuasa esok.

Garis Panduan Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan JAWI, menyatakan hanya lima orang dibenar hadir bagi akad nikah di JAWI dan di masjid dalam Wilayah Persekutuan iaitu pengantin perempuan dan lelaki, wali serta dua wakil pihak pengantin.

Jurunikah dan dua saksi pula adalah daripada pihak JAWI jika dijalankan di JAWI atau dari pihak masjid sekiranya akad nikah dijalankan di masjid.

"Bagi pasangan pengantin yang hadir dari negeri luar yang berada dalam zon merah ke majlis akad nikah di JAWI, mereka juga dihadkan dengan jumlah sama," kata garis panduan yang dikemas kini, hari ini.

Hanya seorang jurufoto dibenar hadir dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan serta tempoh masa perjalanan keseluruhan majlis akad nikah tidak melebihi 20 minit.

Selain itu, tidak dibenarkan berjabat tangan antara jurunikah dengan pengantin lelaki dan antara semua pihak yang terbabit pada majlis akad nikah serta susun atur majlis perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Upacara seperti membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin juga tidak dibenarkan dan perlu mematuhi langkah keselamatan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

Hanya mas kahwin dan dokumen berkaitan saja dibenar berada dalam ruang majlis, malah ruang majlis dan kawasan sekitarnya perlu disanitasi termasuk tandas sebelum dan selepas majlis dijalankan.

Pada masa sama, pihak terbabit perlu mematuhi tarikh dan masa ditetapkan Pendaftar atau Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (NCR). Majlis akad nikah boleh dibatalkan jika pihak terbabit gagal hadir pada tarikh dan masa berkenaan.

Menurut garis panduan itu lagi, pelaksanaan majlis akad nikah dalam tempoh PKP dibenarkan kepada pasangan yang mendapat Kebenaran Berkahwin daripada JAWI dan ia turut diperluaskan kepada pemohon luar Wilayah Persekutuan yang sudah mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.

Pasangan dari negeri lain yang sudah mendapat kebenaran nikah JAWI dan ditangguhkan sebelum ini juga boleh menjalankan akad nikah dan keputusan saringan ujian HIV kedua-dua pasangan masih dalam tempoh sah laku ketika akad nikah dijalankan.

Bagi surat Kebenaran Berkahwin yang tamat dalam tempoh PKP, ia akan dilanjutkan dua bulan bermula dari tarikh kebenaran berakhir, namun pemohon perlu hadir semula ke JAWI untuk membuat penyambungan tempoh sah Kebenaran Berkahwin.

Mengikut garis panduan itu lagi, terdapat syarat khusus ditetapkan termasuk pihak terbabit perlu membuat janji temu dengan JAWI terlebih dulu bagi mendapatkan tarikh dan waktu akad nikah, tidak mempunyai gejala, bukan kontak rapat kes positif COVID-19, bukan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), malah pengantin lelaki dan perempuan serta wali mereka diwajibkan menjalani ujian 'swab test' terlebih dulu.

"Keputusan ujian disahkan negatif perlu diserah kepada JAWI sebagai bukti bagi membolehkan majlis akad nikah diadakan.

"Selain itu, perlu membuat pemeriksaan suhu badan di pintu masuk, mendaftarkan kehadiran menggunakan imbasan QR code melalui aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: