Jumaat, 5 Februari 2021

Lori bantuan mangsa banjir bawa mercun diberkas


ABDUL MAJID MOHD. ALI

MELAKA: Taktik dua lelaki membawa masuk mercun bernilai RM360,000 ke negeri ini menggunakan sebuah lori dengan menampal pelekat ‘Misi Bantuan Mangsa Banjir’ gagal memperdayakan pihak polis apabila mereka dicekup bersama enam individu lain.

Kedua-dua suspek berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan dalam Op Limau di sebuah premis di Jalan Tampin-Alor kira-kira pukul 6 pagi.

Turut ditahan dalam serbuan itu adalah isteri kepada salah seorang suspek berusia 29 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, ketiga-tiga suspek itu merupakan hasil tangkapan susulan serbuan pertama yang dilakukan di sekitar Melaka Tengah pada Isnin lalu.

“Pihak polis telah melakukan empat serbuan berasingan di sekitar Melaka Tengah dan berjaya memberkas lima lelaki berbangsa Cina berusia berusia 25 hingga 29 tahun selepas menemukan pelbagai jenis mercun bernilai RM150,000.

“Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan kedua di sebuah premis di Alor Gajah dan pemeriksaan ke atas muatan sebuah lori dengan pelekat ‘Misi Bantuan Mangsa Banjir’ telah menjumpai mercun bernilai RM360,000.

“Justeru, dua lelaki berbangsa India dan seorang wanita warga Thailand ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelasnya, pihak polis percaya kedua-dua suspek tersebut telah mengaburi kegiatan mereka dengan menggunakan pelekat misi bantuan banjir yang ditampal pada lori untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 2 ini.

“Kita dapati terdapat juga mercun jenis bola dibungkus di dalam guni beras bagi mengaburi pihak berkuasa ketika mereka melalui SJR di negeri ini, malah kumpulan ini juga telah membuat surat kebenaran perjalanan palsu.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam Op Limau ini adalah RM510,000 dan pihak polis percaya premis di Alor Gajah itu dijadikan gudang untuk menyimpan bekalan mercun sempena Tahun Baharu Cina ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, bekalan mercun tersebut dipercayai dibawa masuk daripada negara jiran dan kegiatan pengedaran dibuat menggunakan katalog yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.

Tambahnya, semakan lanjut turut mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah.

Katanya, kesemua lapan suspek kini direman selama empat hari seingga 6 Februari ini bagi membantu mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: