Jumaat, 5 Februari 2021

Jangan takut, bertangguh jalani rawatan kanser

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

MUHYIDDIN YASSIN

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi keperitan dan kesukaran yang ditanggung pesakit kanser dalam melawan penyakit itu.

Sebagai bekas pesakit kanser, beliau memberitahu, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh selain rawatan yang komprehensif.

Beliau yang kini disahkan pulih bersyukur kepada Allah setelah menjalani rawatan selain kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit ini.

“Bagi mengelakkan kanser dikesan lewat, saya menyarankan orang ramai agar melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.

“Buatlah pemeriksaan awal dan yang paling penting, segeralah menjalani rawatan sekiranya anda disahkan menghidap kanser. Jangan takut dan bertangguh,” katanya dalam catatan Facebook beliau hari ini sempena sambutan Hari Kanser Sedunia.

Menurut Muhyiddin, apa jua penyakit, Insya-Allah boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul.

Katanya, ramai pesakit kronik termasuk kanser yang beliau kenali, berjaya melawan penyakit ini dan kini menjalani kehidupan seperti biasa.

“Jika anda sedang berjuang melawan kanser, kuatkan semangat – anda bukan menghadapinya seorang diri.

“Sempena Hari Kanser Sedunia hari ini, saya mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini. Amalkan gaya hidup sihat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: