Isnin, 8 Februari 2021

Lebih 300 penduduk Tanjong Tokong bakal terima kunci rumah .

Oleh SAFINA RAMLI
WAN Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kiri) sempat melawat salah sebuah unit Pangsapuri Warisan Tanjung, di Tanjong Tokong, Pulau Pinang yang sudah sedia didiami baru-baru ini.

GEORGETOWN: Lebih 300 penduduk yang terlibat dengan projek penempatan semula Tanjung Tokong Fasa 4A akan berpindah ke rumah baharu yang dibangunkan UDA Holdings Berhad (UDA) dalam masa terdekat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penduduk terlibat akan berpindah dengan kadar segera supaya dapat tinggal dalam keadaan selamat terutama ketika tempoh pandemik Covid-19.

“Keadaan rumah yang didiami sekarang oleh penduduk yang terlibat pun sudah usang, maka sepatutnya mereka pindah ke rumah baharu dengan segera.

“Di dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta dipercepatkan pemindahan ini pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang dibangunkan anak syarikat UDA iaitu UDA Land (North) Sdn. Bhd. pada 27 Oktober 2014 itu merupakan unit pangsapuri tiga bilik dengan dua jenis keluasan iaitu 850 dan 800 kaki persegi.

Terdapat lima blok pangsapuri enam tingkat dengan jumlah keseluruhan 210 unit (850 kaki persegi) dan lima blok pangsapuri sembilan tingkat berjumlah 340 unit rumah (800 kaki persegi) yang dibina atas tanah berkeluasan 3.24 hektar dengan menelan perbelanjaan RM84 juta.

Unit Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A itu diberikan secara percuma oleh UDA kepada semua penduduk yang terbabit dengan projek berkenaan.

Menurut Wan Junaidi, projek penempatan semula masyarakat sekitar Tanjung Tokong yang diterajui UDA sejak 1972 itu dilihat sebagai satu usaha yang membanggakan dalam membantu masyarakat khususnya golongan bumiputera di Tanjung Tokong untuk memiliki kediaman lebih teratur dan selesa.

“Ini kerana kediaman di tengah bandar Pulau Pinang mempunyai nilai hartanah yang sangat tinggi.

“Harga hartanah di Pulau Pinang memang di luar kemampuan masyarakat bumiputera dan usaha UDA membolehkan mereka memperoleh hartanah di kawasan strategik,” katanya.

Tambah beliau, secara kasar harga pasaran seunit Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A itu bernilai sekitar RM400,000.

Sementara itu Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UDA kini dalam proses menyerahkan kunci rumah baharu itu kepada penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A yang terlibat. UTUSAN

“Usaha ini bertepatan ketika pandemik Covid-19 dalam membantu penduduk terbabit mendiami rumah yang lebih kondusif dan selesa,” katanya.

Tiada ulasan: