Isnin, 8 Februari 2021

Generasi gajet mudah pembelajaran online

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MOHD. Ilham Adenan (kiri) bersama wartawan sambilan Media Mulia Sdn. Bhd. ketika ditemui di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka di Maran, Pahang.

MARAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang berjaya menerapkan proses pengajaran dan pentadbiran secara dalam talian mengikut norma baharu seawal Mac tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, setelah setahun pembelajaran secara dalam talian, para mahasiswa dan pensyarah di universiti itu tiada masalah meneruskan sistem berkenaan dalam tempoh PKP 2.0 ketika ini.

“Generasi gajet yang menjadi budaya hidup rakyat memudahkan pelaksanaan pembelajaran ‘online’ kerana ia sangat efektif dalam kalangan mahasiswa.

“Pensyarah pula diberi kelonggaran menggunakan kaedah sendiri yang difikirkan memberi impak maksimum kepada penuntut mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka di sini hari ini.

Mohd. Ilham berkata, penuntut mungkin sedikit tertekan mengikuti pembelajaran secara dalam talian jika capaian internet rendah di kawasan tertentu tetapi realitinya ia berjalan mengikut perancangan.

Ini kerana katanya, semua mahasiswa mempunyai telefon pintar dan 70 ke 80 peratus mempunyai komputer riba untuk melaksanakan tugasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, impak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP pada ketika ini memerlukan lonjakan paradigma perubahan kurikulum pembelajaran di universiti.

“Perubahan kurikulum dianggap perlu berikutan perubahan mendadak sistem pengajaran bersemuka bersama guru kepada sistem ‘online’ kerana boleh mempengaruhi kualiti graduan,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui sistem bersemuka secara dalam talian masih relevan diguna pakai walaupun selepas PKP seperti bermesyuarat kerana lebih efektif dan menjimatkan masa. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: