Ahad, 14 Februari 2021

Kos internet, peranti WFH patut ditanggung majikan

Rahimah Abdullah
Kos internet, peranti WFH patut ditanggung majikan
Majikan sepatutnya menanggung kos internet dan peranti digunakan pekerja 
yang diarah bekerja dari rumah (WFH). - Gambar hiasan
 
KUALA LUMPUR: Majikan sepatutnya menanggung kos internet dan peranti digunakan pekerja yang diarah bekerja dari rumah (WFH).
 
Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Danial Wong menjelaskan, ia bagi memastikan pekerja dapat menjalankan tanggungjawab diberikan dengan kemudahan yang mencukupi sama seperti yang diperoleh di tempat kerja atau pejabat.
 
Bagaimanapun katanya, pekerja perlu tampil berbincang dengan majikan jika mengalami masalah mendapatkan kemudahan berkenaan sepanjang bekerja dari rumah.
 
"Saya fikir dalam perkara ini kena ada give and take (tolak ansur) antara majikan dan pekerja. Ramai pekerja kena WFH, pada masa sama majikan boleh argue bahawa kos pekerja datang ke pejabat berkurangan.
 
"Namun, pekerja boleh argue pula bahawa gaji mereka dipotong.
 
"Tetapi soal peranti dan kos internet, saya sebagai seorang majikan saya terasa patut ditanggung oleh para majikan kerana kemudahan seperti ini untuk memudahkan para pekerja melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan langkah majikan membenarkan pekerja mengambil peranti dari tempat kerja untuk digunakan sepanjang bekerja di rumah.
 
"Jadi memang eloklah kita galakkan majikan membenarkan pekerja bawa balik peranti dari pejabat ke rumah. Kalau kita lihat, jika letak peranti di pejabat pun tidak dipakai tetapi apabila dibawa di rumah boleh membantu pekerja melaksanakan tanggungjawab.
 
"Jadi pekerja dan majikan harus berkompromi dalam isu ini supaya mereka boleh berbincang bagaimana kedua-dua belah pihak memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka," ujarnya.
 
Pada masa sama, majikan perlu memberi kepercayaan kepada pekerja untuk menjaga peranti milik syarikat.
 
Dalam pada itu, mengulas cadangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) agar kerajaan memberikan tambahan insentif kepada majikan dan pekerja, Chris berkata, kerajaan disyor menaikkan pelepasan cukai individu daripada RM1,000 kepada sehingga RM3,000.
 
"Insentif percukaian peranti ini bukan perkara baharu. Pelepasan cukai sebelum ini ada tetapi ada permintaan untuk kerajaan mempertimbangkan tingkatkan (pelepasan cukai peranti) kepada RM2,000 ke RM3,000 seorang," ujarnya.

Tiada ulasan: