Rabu, 10 Februari 2021

Kluster Pasai merebak ke generasi keenam

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
DR. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kluster Pasai yang melibatkan 58 rumah panjang di Sarawak dengan seramai 2,373 individu dijangkiti, sudah merebak ke generasi keenam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sejak kes pertama dilaporkan 9 Januari lalu, kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan menjadi punca utama seperti kelemahan membabitkan pengasingan kerana rumah panjang. 

Katanya, susulan merebaknya jangkitan kluster itu, seramai 46 petugas kesihatan dijangkiti yang turut tersenarai dalam  2,373 kes positif selepas hasil saringan ke atas 25,500 individu.

“Kluster ini berlaku apabila kes indeks yang pulang dari Johor untuk menghadiri pengebumian mendiang bapanya, menjalani kuarantin wajib di rumah panjang biarpun sepatutnya dikuarantin di hotel. 

“Penularan berlaku apabila adat pengebumian berlangsung selama tiga hari berturut-turut membabitkan penglibatan ramai pihak termasuk komuniti rumah panjang lain,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, malah individu (pesakit) yang pergi ke fasiliti kesihatan bagi mendapatkan rawatan menyebabkan berlakunya jangkitan ke atas 46 petugas kesihatan yang beranggapan kawasan itu adalah Zon Hijau.

Katanya, buat masa ini, pihaknya menyusun strategi untuk melindungi golongan rentan iaitu penduduk di pedalaman seperti rumah panjang dan orang asli.

“Berdasarkan kajian mendapati nilai kitaran ambang bagi kluster itu adalah tinggi maka kadar kebolehjangkitan sudah berkurangan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: