Rabu, 10 Februari 2021

Pesalah ingkar SOP turun kepada 745 individu

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Setelah merekodkan lonjakan dua hari berturut-turut, jumlah ditahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai turun semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya 745 individu yang ditahan berbanding 950 orang kelmarin dan 789 orang pada seharinya sebelum itu.

Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 71,336 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,147 pasukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah ditahan itu, 701 dikompaun, 41 direman dan tiga lagi dijamin dengan paling tertinggi ialah tidak patuh jarak fizikal sebanyak 156 kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ini diikuti rentas kawasan tanpa izin (151), tiada pelitup muka (129), gagal sedia alat rekod butiran (112), operasi premis lebih masa (57),aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (127).

Beliau juga menambah, 14,476 anggota semalam telah memantau sejumlah 5,797 restoran, 3,933 bank, 3,902 pasar raya, 1,735 kilang, 1,396 pasar awam dan 954 pejabat kerajaan.

Seramai tiga pendatang asing tanpa izin ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan kes Covid-19.

“Enam buah kenderaan darat dirampas, manakala 543 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 135 buah bot atau kapal asing dicurigai berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri memaklumkan sejumlah 88 operasi sanitasi awam dilaksanakan meliputi 41 zon merah, tiga zon jingga, enam zon kuning dan satu zon hijau di seluruh negara semalam.

Usaha tersebut ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 556 anggota bomba selain 104 anggota pihak berkuasa tempatan dengan penggunaan sejumlah 80 buah jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 321 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.

“Sejumlah 111,927 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 72 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 510 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 106,017 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 601 peruncit, 159 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 2,206 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya enam diberi nasihat, dua dikenakan amaran manakala 13 lagi dikompaun. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: