Jumaat, 5 Februari 2021

Kenderaan barangan dibenar beroperasi atas jalan raya sepanjang Tahun Baharu Cina .

Oleh MOHD HUSNi MOHD NOOR
WEE KA SIONG

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan membenarkan kenderaan barangan untuk beroperasi di atas jalan raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina bermula minggu depan.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kementerian tidak melaksanakan perintah larangan tersebut memandangkan semua negeri berada di bawah pelaksanaan PKP sehingga 18 Februari ini dan Sarawak yang berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB) sehingga 14 Februari.

“Setiap tahun, kementerian biasanya mengeluarkan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada beroperasi di atas jalan raya bagi beberapa hari yang ditetapkan di sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.

“Larangan adalah bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan mengelakkan berlakunya kesesakan dengan mengurangkan percampuran kenderaan-kenderaan barangan di dalam aliran trafik,” katanya di sini.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kementerian telah mengemas kini Surat Pengesahan Pengoperasian Perkhidmatan Perlu untuk kegunaan pemain industri pengangkutan dan logistik sepanjang tempoh pelaksanaan lanjutan PKP.

Menurutnya, pengemaskinian itu dibuat dengan mengambil kira maklum balas serta input daripada para pemain industri pengangkutan dan logistik berkenaan isu di lapangan dan demi kepentingan rakyat.

“Semua pemain industri pengangkutan dan logistik yang telah berdaftar dipelawa memuat turun surat berkenaan melalui Sistem SMILE di pautan https://application.mot.gov.my.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa pemain industri pengangkutan dan logistik bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Tindakan kompaun akan diberikan selaras Seksyen 25, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] jika ia gagal dipatuhi,” katanya.

Katanya, tiada halangan pengoperasian dikenakan bagi perkhidmatan perlu sepanjang tempoh PKP termasuk ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.

Ka Siong berkata, ia selari dengan peraturan-peraturan sedia ada di sepanjang tempoh PKP dan PKPB termasuk yang melarang pergerakan rentas negeri dan daerah kecuali bagi sektor kritikal yang telah dibenarkan.

“Namun diingatkan bahawa segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi tanpa sebarang kompromi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: