Jumaat, 5 Februari 2021

Bayi 4 bulan antara korban Covid-19

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan kes positif Covid-19 4,571 kes manakala kes sembuh pula, 4,092 kes dengan membabitkan 17 kematian termasuk seorang bayi berusia empat bulan dan 10 kluster baharu.

Keseluruhan kes positif negara meningkat sebanyak 231,483 kes manakala kes sembuh pula, sebanyak 181,886 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 308 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 135 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor terus merekodkan kes positif tertinggi iaitu 2,056 kes manakala Johor, 664 kes; Kuala Lumpur, 481 kes; Sarawak, 270 kes; Melaka, 238 kes; Sabah, 175 kes; Perak, 163 kes; Pulau Pinang, 157 kes dan Negeri Sembilan, 100 kes.

“Baki negeri lain hanya dua angka iaitu Pahang, 78 kes; Terengganu, 69 kes; Kedah, 51 kes; Kelantan, 48 kes; Putrajaya, 20 kes; Labuan satu kes dan Perlis, sifar kes.

“Bagi kes kematian pula, ia melibatkan empat kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sabah dan Sarawak, dua kes di Johor dan Pahang, dan satu kes di Kelantan, Melaka, dan Negeri Sembilan di mana 15 kes kematian melibatkan warga tempatan manakala dua kes warga asing,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas mengenai 17 kematian, Noor Hisham berkata, ia melibatkan 15 lelaki termasuk seorang bayi serta dua warga asing dan dua wanita membabitkan usia antara empat bulan sehingga 82 tahun.

“Tiga lelaki berusia 34, 78 dan 81 tahun tidak mempunyai penyakit manakala bakinya termasuk bayi berusia empat bulan mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.

“Antara penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti, limfoma, jantung, kanser usus, strok, dislipidemia, gout, Nasopharyngeal carcinoma (NPC) dan buah pinggang kronik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan 10 kluster baharu, beliau berkata, enam kluster berkaitan tempat kerja dan empat komuniti.

Katanya, Kluster Jalan Industri Rawang di Gombak, Selangor, sebanyak 23 kes dari 156 individu dan Kluster Jalan Gombak melibatkan Gombak, Sepang, Petaling dan Hulu Langat, Selangor serta Cheras, Kuala Lumpur, seramai 1,110 individu disaring, di mana 41 kes positif.

“Kluster Jalan Jasmine di Hulu Selangor, Selangor, seramai 1,664 individu disaring, iaitu 61 kes positif dan Kluster Jalan Pengiran di Matu, Sarawak, sebanyak 20 kes dari 113 individu yang disaring.

“Kluster Jalan Permata Satu di Seremban, Negeri Sembilan, sebanyak 31 kes dari 532 individu yang disaring dan Kluster Parit Penyengar di Muar, Johor, sebanyak 34 kes dari 572 individu,” katanya.

Tambahnya, empat kluster berkaitan komuniti ialah Kluster Kampung Lukut di Kota Tinggi, Johor, seramai 33 individu disaring, di mana 15 kes positif dan Kluster Jalan Jelutong di Kota Tinggi, Johor, sebanyak tujuh kes dari 54 individu yang disaring.

“Kluster Rantau Tanjung di Maran, Pahang, seramai 21 individu telah disaring, di mana 14 kes positif dan Kluster Kampung Pulau Jawa di Pekan, Pahang, seramai 37 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: