Ridauddin Daud
Kempen
#KeepBreathing bertujuan mendidik masyarakat berkaitan kemajuan
perubatan termasuklah rawatan 'bespoke' dan ujian saringan untuk
pengesanan
awal kanser paru-paru.
KUALA LUMPUR:
Sekiranya menghidap kanser paru-paru, ia bukanlah bermakna nyawa anda
sudah sampai ke penghujungnya atau tidak mampu diselamatkan lagi.
Persepsi
sebegitu yang berlegar dalam kalangan masyarakat membuatkan ada pesakit
menganggap penyakit itu sebagai hukuman mati, sekali gus mereka putus
harapan, enggan menjalani rawatan.
Presiden Lung Cancer Network Malaysia,
Dr Anand Sachithanandan berkata, dalam usaha melawan stigma tersebut,
pihaknya bekerjasama dengan Pfizer Malaysia menganjurkan kempen #KeepBreathing.
Menurutnya,
kempen itu bertujuan mendidik masyarakat berkaitan kemajuan perubatan
termasuklah rawatan ‘bespoke’ dan ujian saringan untuk pengesanan awal
kanser paru-paru.
“Tahap
kesedaran terhadap kanser paru-paru di Malaysia masih rendah dan ini
menyumbang kepada kadar diagnosis tahap lewat dalam kebanyakan kes.
“Stigma
bahawa kanser paru-paru ialah kanser yang 'ditimbulkan sendiri',
ketakutan terhadap rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi serta
fokus terhadap rawatan tradisional dan terapi sampingan merupakan
halangan tambahan.
“Kanser paru-paru
boleh disembuhkan jika dikesan awal dan menerusi terapi multimodal
dengan pendekatan pelbagai disiplin,” katanya dalam satu kenyataan pada
Khamis.
Sempena Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari 2021, pelancaran kempen #KeepBreathing bertujuan menyatukan pelbagai pihak selain menimbulkan kesedaran terhadap orang ramai.
“Kempen
ini merupakan seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk turut terlibat
dalam mengubah cara penyakit ini dibincangkan, menceritakan pengalaman
pesakit yang akhirnya diharapkan dapat kurangkan stigma terhadap kanser
paru-paru,” ujarnya.
Dalam pada itu,
Pfizer melancarkan program bantuan pesakit dikenali sebagai V-Care untuk
menyokong rawatan pesakit kanser paru-paru.
Pengurus
Pfizer Malaysia & Brunei, Luksanawan Thangpaibool berkata, melalui
progam itu, pesakit boleh merancang pelan kewangan mereka dengan lebih
baik dan mendapatkan akses terhadap rawatan inovatif.
“Pfizer memberikan komitmen untuk menyokong pesakit kanser paru-paru sepanjang rawatan mereka termasuklah dari segi kewangan.
“Kami
bangga melancarkan program V-Care di Malaysia untuk membekalkan rawatan
yang efektif bagi mereka yang memerlukannya supaya pesakit dapat
menikmati hidup mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan