Selasa, 9 Februari 2021

Hafiz Mahamad bantu bina rumah baharu tokwan

Hafiz menziarahi tokwan di Kedah bagi membantu membina semula rumahnya yang terbakar, baru-baru ini.

ALOR SETAR – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Seorang warga emas bukan sahaja kehilangan rumah, dua biji motosikalnya, malah wang hasil tuaian padi yang baru diperolehinya turut hangus dalam satu kebakaran baru-baru ini.

Namun, tidak sampai hati melihat kesedihan lelaki yang digelarnya sebagai tokwan, Instafamous dan usahawan terkenal Hafiz Mahamad tampil membantu membina rumah baharu untuk lelaki itu, semalam.

Menerusi perkongsian video dan catatan Facebook, semalam Hafiz berkata, beliau pergi ke Kedah secara balik hari bagi melihat sendiri tokwan dan tapak rumahnya yang musnah itu.

Katanya, beliau sedih mendengar kisah mereka yang bukan sahaja kehilangan rumah, dua biji motosikal,malah duit hasil tuaian padi yang baru diperoleh tokwan musnah dalam kejadian itu.

“Harini saya cuba bantu mereka untuk bina sebiji rumah yang baharu atas tanah yang sama. Alhamdulilah cukup semuanya kos yang diperlukan setakat ini,” tulisnya, semalam.
Hafiz dalam pada itu berkata, beliau turut membelikan sebuah motosikal baharu untuk anak bongsu tokwan,setelah musibah tersebut memusnahkan kenderaan yang selalu digunakan untuk menghantar anaknya ke sekolah.

“Walaupun rumah terbakar, tokwan setiap hari datang rumah tu pukul 8 malam hingha 11 malam. Dia tak sayang rumah tu, dia rindu kenangan yg ada bersama arwah isteri dalam rumah tu.

“Mereka tak henti ucap terima kasih, Alhamdulilah walaupun saya baru kenal mereka dari ujian ni. Mereka adalah sahabat sahabat saya,” katanya lagi.

Hafiz menjelaskan, ada sedikit bahagian dari perniagaan, sahabat-sahabat beliau semua yang dikongsikannya pada sahabat yang memerlukan.

“Terima Kasih, saya sayang awak semua,” tambahnya.

Tiada ulasan: